Wanita-wanita Dalam Khayal & Angan Hamka…


Peminat sastera tanah air beruntung, apabila novel-novel karya Buya Hamka yang banyak membuat pembaca menangis dan berfikir,  yang dicetak dan diterbitkan semula oleh PTS. Siapa yang membaca novel-novel Hamka pasti setuju bahawa watak dan plot cerita Hamka begitu meninggalkan kesan, sehingga karya-karya beliau diterjemah dalam bentuk filem dan teater. Wanita sering menjadi watak dominan yang menjadi fokus dalam novel beliau.

Kami begitu tertarik dengan analisa oleh Fuad Syazwan Ramli , yang di ambil dari timeline facebook beliau, berkenaan watak wanita-wanita dalam novel karya Buya Hamka. Kami sertakan nukilan analisa beliau yang bermula dengan watak seorang wanita dalam kisah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Hayati.

Wanita 1: Hayati, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Mungkin dalam kalangan watak-watak wanita yang dicipta oleh HAMKA, Hayatilah yang paling dibenci oleh kebanyakan pembaca. Tidak sukar untuk memahami kenapa Hayati dibenci. HAMKA meletakkan Hayati di posisi yang sangat mudah untuk dibenci lantaran wataknya sebagai perempuan yang mengkhianati janji dan sumpah dengan memilih harta berbanding cinta. Maka sebagaimana watak-watak klise lain, Hayati dijadikan sasaran kebencian bagi pembaca yang cukup bersimpati atas nasib yang menimpa Zainuddin, watak utama dalam novel ini.

Akan tetapi, adalah penting untuk kita menghargai novel ini lebih dari sekadar novel cinta sebagaimana novel lain yang hanya berisikan kisah cinta lelaki perempuan. Sebagai tokoh besar sudah tentu ada pesanan tertentu yang cuba untuk disampaikan oleh HAMKA, secara sengaja atau tidak menerusi watak-wataknya. Dan pastinya watak Hayati tidak terlepas dari tugas untuk menjadi penyampai pesanan penting itu.

Hayati bukanlah sekadar seorang gadis Batipuh yang terpaksa mengikut kata nenek mamaknya untuk berkahwin dengan Aziz. Hayati merupakan perlambangan manusia yang terpaksa mengorbankan cita-cita, kepercayaan dan prinsip hidup lantaran kuatnya tekanan dunia mahupun bagi menjaga kepentingan orang lain yang lebih utama. Apatah lagi jika dia seorang yang tidak berpengaruh, cuma manusia biasa yang tiada nama. Sudah tentu tekanannya cukup kuat. Untuk menjadi kiri dalam dunia yang serba kanan adalah satu dugaan yang maha berat. Belum tentu termampu untuk kita.

“Apakah lagi jalan yang lain yang harus dipilihnya selain daripada itu. Dia menyerah kepada takdir, terpaksa mungkir akan janjinya yang terdorong, sebagaimana kebanyakan anak-anak perempuan yang lain juga, sebab yang memutuskan janji bukan dia, hidupnya tersangkut dengan keluarganya…”

Hidup bukanlah selamanya sebagaimana yang kita rancang dan mahukan. Sentiasa ada hal-hal yang akan menghambat dan mengikat cita-cita dan kemahuan kita selagi mana kita bergelar manusia. Dan ramailah orang yang terpaksa memilih sepertimana Hayati juga. Mengorbankan prinsip dan kepercayaan demi menuruti arus kehidupan. Melupakan hasrat hati, menangguhkan cita-cita demi menjaga hati dan jiwa lain yang saling bersangkutan.

Kita sanggup menghukum Hayati kerana kita memandang Hayati sebagai jiwa yang mandiri yang mampu membuat keputusan dengan kebebasan yang mutlak tanpa perlu terikat pada hal-hal yang lain. Ya, jika Hayati hidup di zaman kita pada hari ini mungkin ada benarnya. Tapi jangan sesekali kita meletakkan Hayati di tempat kita, sebaliknya letaklah diri kita di tempat Hayati. Dengan berhadapan dengan sistem adat dan masyarakat sebegitu, mampukah kita berdiri tegak mendabik dada menongkah arus? Belum tentu.

Tidak selamanya kita mampu berbuat mengikut kepala dan hati serta perasaan kita sahaja. Adakalanya kita terpaksa berkorban demi maslahat yang lebih besar. Terutama hal-hal yang bersangkutan dengan hati dan jiwa orang yang dekat dengan kita.

Seorang lelaki mungkin terpaksa melupakan cita-cita peribadinya apabila dia sudah berkahwin. Seorang ayah mungkin terpaksa melupakan cita-cita waktu mudanya apabila dia sudah berzuriat.

Hidup sentiasa menuntut pengorbanan. Dan celakanya hidup ini juga adalah yang berkorban sering kali dilupakan, apatah lagi apabila pengorbanannya tidak dihargai, dilihat sebagai pengkhianatan semata-mata tanpa ada usaha untuk menyelami isi hatinya.

“Hayati seorang gadis yang bercita-cita tinggi, tetapi jiwanya pun tak betah akan mengecewakan hati ninik mamaknya dan kaum kerabatnya. Dia hanya akan menerima apa tulisan takdir.”

Sudah tiba masanya untuk kita kembali meletakkan Hayati di tempat yang selayaknya. Tidak patut jika Hayati hanya dikenali sebagai perempuan mata duitan yang sanggup mengkhinati janji dan sumpah demi mencari kesenangan dunia. Lihatlah Hayati dengan pandangan baharu yang lebih adil.

Menarik, bukan analisa Tuan Fuad Syazwan ini? Sambungan analisa ini akan disambung kepada watak seterusnya. Nantikan watak lain yang juga menarik dan penuh pengajaran, seperti watak Poniem, dalam Kisah Merantau Ke Deli.

Kisah-kisah kehidupan, berkenaan watak-watak lelaki dan wanita nukilan Hamka ini boleh didapati disini.

warungbooku

One Comment