10 Buku Kisah Wanita Besi Perlu Dibaca Setiap Wanita (dan Lelaki!)

8 Mac 2017 adalah hari untuk meraikan Hari Wanita Antarabangsa, ia istimewa untuk meraikan usaha, semangat dan pengorbanan wanita dari pelbagai jalur kehidupan.

Wanita sering menjadi peguat sesuatu entiti, samada di tempat kerja atau di rumah. Meskipun di zaman moden ini, kebanyakkan wanita telah memegang peranan yang sama penting dengan kaum lelaki, masyarakat kita masih belum bebas sepenuhnya dari persepsi wanita mudah dipermainkan, wanita golongan kelas ke-dua, wanita diperdagangkan umpama komoditi, atau lebih teruk lagi, wanita tidak perlu belajar tinggi dapatkan ilmu, kerana akhirnya tempatnya hanya di dapur menjaga anak.

Walhal, kerana salah satu peranan wanita ialah mendidik anak dan mengurus rumah tangga disamping tanggungjawab lain, adalah amat perlu bagi wanita mendapat pendidikan yang baik, keterbukaan menyatakan pendapat, padangannya diberikan perhatian, di hormati, selagi mana tidak melanggar norma sebagai manusia beradab. Masakan kita serahkan urusan rumahtangga dan pendidikan anak kepada wanita yang  dinafikan pendidikan atau yang sentiasa tertutup pemikirannya?

Di era ini, lelaki dan wanita perlu sama sama berganding bahu ‘membina’ wanita yang ada dalam lingkungan masing-masing – adik, kakak, ibu, jiran atau kawan. Pastikan wanita disekeliling kita yang sedang di tindas atau dinafikan hak memajukan diri terus dibantu dan dibebaskan dari ‘belengu’ yang merugikan negara. Cubalah anda lihat video ringkas Justin Trudeau ini tentang apa pendapat beliau tentang wanita dan perenna lelaki dalam memajukan wanita.

Sebagai menyemarakkan lagi semangat dan inspirasi buat wanita dikalangan kita, kami bariskan 10 buku yang membawa watak wanita yang….

  • Berani dan cekal mengubah nasib sendiri
  • Berkorban demi nilai kemanusiaan,
  • Berprinsip, wanita mendahului perubahan masyarakat
  • Bijak menentukan masa depan hidup sendiri
  • Mengatasi halangan-halangan yang mampu menggagalkan impian
  • Memasang impian besar

Bersama 10 buku ini, kami sertakan sinopsis atau ulasan buku dari pembaca terpilih.

#1 – SAYA MALALA (I’M MALALA EDISI BM) – Malala Yousefzai & Christina Lamb

Apabila Taliban menguasai Lembah Swat di Pakistan, seorang gadis cilik mula bersuara. Malala Yousafzai enggan berdiam diri tetapi berjuang menuntut haknya mendapatkan pendidikan. Pada Oktober 2012, tatkala usianya mencecah 15 tahun, nyawa Malala hampir-hampir tergadai. Dia ditembak di kepala semasa perjalanan pulang ke rumah dari sekolah dan harapan untuk hidup tipis. Namun, penyembuhan Malala yang hebat telah membawa dia dari kawasan terpencil di utara Pakistan ke dewan Bangsa-bangsa Bersatu di New York. Pada usia 16 tahun, dia muncul sebagai lambing protes keamanan global. Setahun kemudian, dia menjadi penerima Hadiah Nobel Keamanan yang termuda.

#2 – KUNANG PESISIR MORTEN – Raiha Bahaudin

 

Kampung Morten 1984. Dengan sebatang sungai kotor bukan saja dipenuhi dengan sampah sarap dan ketam lumpur Uca Annulipes. Juga telah menjadi garis ghaib pemisah dua komuniti bangsa selama berdekad-dekad. Sehinggalah keajaiban berlaku dengan kehadiran seorang budak perempuan sembilan tahun comotnya ya ampun berambut gerbang.

Dhiya; seorang pemikir visual genius bersama-sama sahabatnya Adi dan Lim meneroka kota Melaka, menjadi usahawan kecil, menerokai dunia lukisan Monet juga menjejak pencuri berkaki ghaib. Dan tanpa mereka sedari, sedikit demi sedikit perkara- perkara kecil yang mereka lakukan telah menaut jurang tebing antara dua bangsa.

#3 – MERANTAU KE DELI – Hamka

Dalam kisah ini, berlakunya krisis dalam rumah tangga Leman & Poniem akibat wanita lain. Akibatnya, Leman menceraikan Poniem dengan talak 3.

Poniem yang jatuh terduduk diceraikan talak 3, tidak tenggelam dengan nafsu kesedihan atau kemurungan. Beliau bangkit membina hidup yang baru, jauh meninggalkan Leman.
Hamka memberi ’empowerment’ kepada wanita yang mengalami nasib yang sama dengan Poniem, untuk bangun meneruskan dan memajukan hidup.
Hamka memilih untuk mengenengahkan sisi manusiawi dalam isu perkahwinan. Dalam kebanyakkan hal, ramai cenderung menggunakan justifikasi agama semata-mata tanpa melihat nilai manusiawi, yang akhirnya menganiaya wanita. Wanita yang dianiaya ini tidak membiarkan nasib nya ditentukan oleh lelaki, tetapi bangun memandang ke hadapan memajukan diri.

#4 – NAMASTE – Siti Noridah

Buku ini mengisahkan tentang pengembaraan Siti Noridah Ab. Rahman di India pada tahun 2014 dan 2015. Mengembara di India telah mengajar beliau banyak perkara tentang kehidupan secara umumnya. Malah sepanjang tempoh pengembaraan solonya di sana, beliau sering diuji ketahanannya dari segi mental dan juga fizikal. Sebenarnya, bukan perkara yang mudah untuk mengembara seorang diri sebagai seorang wanita di India.

Beliau yang sememangnya gemarkan pengembaraan penuh cabaran, telah menjelajah ke daerah yang berhampiran dengan sempadan Tibet yang memerlukanpermit khas untuk ke sana. Keunikannya budaya, adat resam dan sejarah di India juga adalah sesuatu yang tidak kurang hebatnya.

Semoga kisah pengembaraan beliau menjadi inspirasi kepada mereka yang ingin mengembara ke India juga suatu hari nanti, khususnya wanita!

#5 – KISAH HIDUPKU – Helen Keller

Helen Keller adalah perempuan yang lahir normal layaknya bayi lainnya. Tiba-tiba penyakit misterius saat ia baru berumur 19 bulan membuatnya buta dan tuli selamanya. Tetapi kondisi itu tidak memupus semangatnya untuk memahami diri dan dunia. Adalah Anne Sullivan, seorang guru yang penuh cinta, datang bak peri pembawa cahaya bagi dunia Helen yang gulita.

Semangat mengatasi halangan sebagai wanita pekak dan buta, amat tinggi. Perlahan-lahan dengan bimbingan gurunya, beliau belajar mengenal huruf, membaca dengan cara istimewa yang digunakan gurunya. Beliau menulis cerita pertama pada usia 12 tahun, hingga berjaya menjadi wanita buta & pekak pertama yang meraih gelar sarjana. Dan ia tak kenal lelah meneruskan perjuangan melawan penindasan atas kaum perempuan dan kaum pekerja, peperangan, dan penjajahan.

Kisah hidup Hellen Keller ini telah menginspirasi puluhan juta orang di dunia. Diterjemahkan ke dalam lebih dari 50 bahasa, memiar ini diakui sebagai salah satu buku paling penting di zaman ini.

#6 – MOGA BONDA DI SAYANG ALLAH -Tere Liye

Gelap, Melati hanya melihat gelap. Hitam. Kosong. Tak ada warna…. Senyap! Melati hanya mendengar senyap. Sepi. Sendiri. Tidak ada nada….”

Melati, gadis kecil yang berusia 6 tahun. Wajahnya lucu, comel, menyenangkan, namun dia buta dan tuli sejak umurnya 3 tahun. Selama 3 tahun itu dunia Melati gelap, kosong, sepi. Dia tidak mempunyai akses mengenal dunia dan seisinya. Rasa ingin tahu yang dipendam bertahun itu akhirnya memuncak, menjadikan Melati kecewa, hampa. Dia menjadi anak yang sukar untuk dikendali. Bonda Melati dan ayahnya sudah kehabisan cara. Mereka hampir putus asa apabila akhirnya harapan itu tiba….

Namun akhirnya, Tuhan menemukan caranya ketika butir-butir hujan menghunjam bumi. Keajaiban itu datang ketika air pancut dan titisan hujan mengalir di sela jemari kecil Melati.

#7 – THE GIRL IN TUNNEL EDISI BM – Mejar M Qayyum & Siti Nur Sakinah

Kembara jiwa dalam misi kemanusiaan telah mencatat satu sejarah yang sungguh mahal buat remaja berusia 16 tahun bersama Nur Sakinah Hanani Bt Mohd Azmi. Beliau telah menyertai misi ke Gaza tetapi terpaksa menghadapi saat getir menyeberang ke sempadan Raddah ke Gaza melalui terowong bawah tanah buatan manusia. Terowong yang menjadi talian hayat buat penduduk Gaza untuk perubatan dan makanan serta menyelamatkan mangsa-mangsa peperangan yang krtikal. Pendedahan eksklusif dari “Tunnel Girl” ini perlu dimiliki dan dibaca oleh remaja sebagai sumber inspirasi dari azam menjadi pejuang agama, bangsa dan negara.
“Kesempatan yang kecil seringkali merupakan permulaan daripada usaha yang besar”

#8 – BAGAIMANA ANYSS NAIK KE LANGIT – Faisal Tehrani

Bagaimana Anyss Naik ke Langit menceritakan tentang perjuangan wanita yang teguh memperjuangkan nasib golongan tertindas; Prof.Anyss dan pasukannya dalam membela hak hidup orang asli dan nasib gadis-gadis Penan yang diperkosa oleh pembalak di Sarawak.


Tahun dan generasi berganti, nasib orang asli meneruskan hidup mereka dihutan tanpa diganggu pembalak masih tidak banyak berubah. Telah ramai yang mati akibat sakit; tumbuhan & haiwan yang menjadi ubat dan makanan mereka telah mati dan ditebang. Air minuman dan mandian mereka kotor yang dicemari oleh kerja-kerja pembalakan.

Perjuangan Anyss dan sepasukannya adalah perjuangan membela orang kecil yang dianiaya umpama antara kerja kerja Nabi Muhammad yang dahulu, membela nasib orang orang yang dianiaya, mengangkat hak hidup mereka sama rata dengan orang lain. Buku ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada kaum wanita supaya yakin diri, terus bangkit dan berani berhadapan dengan kuasa besar, demi menegakkan keadilan.

 

Setelah habis membaca buku ini saya bertanya kepada diri sendiri; ‘Bagaimanakah saya naik ke langit nanti?’

#9 – MY NAME IS HASMAH – Dr Siti Hasmah Ali

Sebagai salah satu daripada doktor wanita Melayu pertama, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di sayangi lapisan generasi rakyat Malaysia. Beliau meninggalkan perkhidmatan ketika suaminya Tun Dr Mahathir Mohamad mencapai hierarki tertinggi dalam politik dan berterusan untuk 22 tahun Beliau adalah isteri Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat di Malaysia. Di peringkat antarabangsa dan tempatan dia kekal sebagai penyokong kuat untuk isu-isu pembangunan kesihatan awam dan usaha memajukan kaum wanita, khususnya diluar bandar.

My Name is Hasmah aadalah kisah seorang wanita yang mempunyai  pelbagai peranan – doktor, peguam bela, anak perempuan, kakak, isteri, ibu.

#10 – HALF THE SKY: TURNING OPPRESSION INTO OPPORTUNITY FOR WOMEN WORLDWIDE – Nicholas Kristof

Pengembaraan penulis melalui Afrika dan Asia sanggup diredah untuk mendapatkan kisah wanita luar biasa yang bergelut demi ‘survival’, ada di antara mereka adalah remaja Kemboja dijual sebagai hamba seks dan seorang perempuan Kush yang mengalami kecederaan dahsyat ketika melahirkan anak, akibat disiksa secara fizikal.

Kisah ini juga menunjukkan bagaimana inspirasi, bantuan boleh mengubah kehidupan wanita dan kanak-kanak perempuan ini. Gadis Kemboja yang berjaya melarikan diri dari rumah pelacuran akhirnya kini membina sebuah perniagaan runcit yang berkembang maju yang menyokong keluarganya.

Perempuan Kush yang disiksa, tetap bangkit dan berjaya menjadi seorang pakar bedah. Seorang ibu Zimbabwe, menerima kaunseling untuk kembali ke belajar, akhirnya memperoleh doktor falsafah dan menjadi seorang pakar dalam bidang AIDS.

Melalui cerita-cerita ini, Kristof dan WuDunn menyimpulkan bahawa kunci kepada kemajuan ekonomi dan kestabilan institusi keluarga terletak pada potensi wanita. Di sebahagian besar dunia, sumber ekonomi dieksploitasi oleh penduduk wanita. Negara-negara seperti China telah meraih keuntungan kerana golongan wanita yang paling giat menjana ekonomi keluarga, seterusnya masyarakat dan negara.

warungbooku