Nabi Yusuf Menolak Godaan Wanita Cantik Kerana …

Surah Yusuf terkenal sebagai surah yang dibaca untuk melenyapkan kesedihan dan mengajar erti kesabaran. Abdullah Ibnu Mas’ud berkata: “Tidak ada seseorang yang sedang bersedih membaca surah Yusof melainkan Allah akan menghilangkan kesedihannya”

 

Surah Yusuf, surah untuk dibaca bagi orang yang sedang gelisah, orang yang berasa terpinggir tanah airnya, orang yang dianiaya dan dizalimi, orang yang berasa kesunyian dan untuk menguatkan hati agar Istiqamah terhadap tuntutan agama.

 

Buku ini membedah Surah Yusuf yang bertemakan “cinta” yang menyelubungi hidup Nabi Yusuf – cinta ayah, cinta adik beradik, termasuk cinta wanita; yang telah banyak membawa ujian sengsara buat Nabi Yusuf dari kecil hingga dewasa. Melalui surah ini, Allah mahu mengajarkan bagaimana kita harus menghadapi ujian pelbagai bentuk, sebagaimana di ilhamkan buat Nabi Yusuf sepanjang baginda berhadapan dengan pelbagai kesusahan dan kesedihan.

 

Nabi Yusuf, dilahirkan di Palestin, berhampiran Hebron. Beliau dilarikan ke Mesir lebih kurang 1500 kilometer dari kampung halamannya dan dibesarkan oleh al Aziz (His Excellency), seorang menteri kerajaan Hyksos di Mesir yang berpusat di Bandaraya Memphis.

 

Bacaan yang mengujakan! 5 bintang bagi buku ini. Meskipun ia bukan membedah Surah Yusuf secara keseluruhan hingga ayat terakhir, tetapi amat meninggalkan kesan buat saya. Penulis berjaya membuatkan hati berasa sedih terkenangkan nasib Nabi Yusuf, seolah-olah ia berlaku kepada diri sendiri.

 

Saya juga agak tersentuh dengan respon Nabi Yusuf apabila digoda oleh Zulaikha, yang mana jawapan Nabi Yusuf dirakamkan dalam surah ini. Penulis mengulas, Nabi Yusuf tidak berani melakukan maksiat kerana terkenangkan kebaikan Allah kepada baginda selama ini.

 

Nah, sebab yang dirakamkan Allah ini begitu membuka mata. Memang adat kekasih, tidak sanggup menyakiti kekasihnya kerana mengenangkan kebaikan dan kasih sayang yang telah dicurahkan kepada kita. Ini rupanya sebab utama asbab Nabi Yusuf menolak melakukan maksiat dengan Zulaikha. Amat relevan untuk kita ambil iktibar.

warungbooku