Bagaimana Masyarakat Yahudi Pupuk Minat Membaca

Pada 23 April, Saudara Ayman Rashdan Wong berkongsi tulisan menarik sebagai tribute menyambut Hari Buku Sedunia. Apa yang menarik, Saudara Ayman menyelitkan tauladan buat kita, tentang bagaimana kaum yahudi memupuk minat membaca dikalangan generasi muda mereka.

Saudara Ayman menulis….

“Hari ini adalah Hari Buku Sedunia (World Book Day) yang ditetapkan oleh UNESCO (United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization) sejak tahun 1995. 23 April dipilih kerana dua penulis teragung dalam sejarah Eropah iaitu Cervantes (penulis berbangsa Sepanyol yang menghasilkan novel ‘Don Quixote’) dan Shakespeare (penulis berbangsa Inggeris yang menghasilkan ‘Hamlet’, ‘King Lear’ dan ‘Romeo and Juliet’) meninggal dunia pada 23 April 1616.

Walaupun penggunaan buku elektronik (e-book) seperti Kindle semakin menjadi pilihan, namun buku berbentuk fizikal masih mempunyai daya tarikan yang tersendiri berbanding e-book.

Pertama, buku berbentuk fizikal mempunyai bau yang harum. Antara banyak-banyak buku, buku terbitan syarikat Penguin Books paling wangi, entah jenis kertas apa yang diguna sehingga bau bukunya menyerupai mahogani. Bau buku lama juga berbeza dengan buku baru. Buku baru selalunya berbau seperti teh hitam (disebabkan kesan dakwat), buku lama kebanyakan berbau seperti vanila. Keharuman buku boleh merangsang kecerdasan otak dan menghilangkan stres, lebih kurang seperti aroma-terapi lah.

Kedua, kepuasan membaca buku berbentuk fizikal tidak sama dengan membaca e-book. Kalau buku jenis berfakta dan mudah dibaca, bolehlah membaca melalui e-book. Tetapi bagi buku-buku bergenre falsafah atau novel, buku berbentuk fizikal lebih membantu penghayatan yang mendalam.

Bangsa yang hebat adalah bangsa pembaca. Selain bangsa Jepun yang saya selalu sebut, bangsa Yahudi juga terkenal sebagai bangsa pembaca. Kerana membacalah orang Yahudi dapat ‘menguasai’ dunia melalui penguasaan ilmu pelbagai bidang. Orang Yahudi mempunyai ‘rahsia’ memupuk minat membaca sejak zaman kanak-kanak lagi: sambil mengajar kanak-kanak membaca (terutamanya kitab Torah), guru atau ibu bapa Yahudi akan bagi kanak-kanak makan manisan (misalnya madu), dengan itu dalam minda orang Yahudi akan terbentuknya sub-kesedaran (‘sub-consciousness’) bahawa ‘buku itu manis’, menjadikan mereka gemar membaca (rujuk buku Teaching Jewish Life Cycle: Traditions and Activities, halaman 26). Harap tiada yang mengatakan sambutan Hari Buku Sedunia itu agenda Yahudi pula.

Mari semarakkan Hari Buku Sedunia. Kalau dah selalu menayang gambar makanan sedap dan pakaian lawa di media sosial, apa kata hari ini tukar jadi menayang buku?


Nota: Dalam gambar: buku ‘Being and Time’ oleh Martin Heidegger adalah buku yang paling mencabar bagi saya. Sudah 9 tahun saya masih belum berjaya menghabiskan ia. Boleh cuba kalau berani.”

warungbooku