Siapa Lelaki Yang Istimewa Buat Hamka

Ir. Tuan Hadi Amat, menulis ulasannya setelah selesai membaca tulisan Buya Hamka, bertajuk”Ayahku”:

Telah lama saya teringin untuk membaca karya ulama’ ulung nusantara Profesor Dr Hamka atau Pak Hamka namun sikap bertangguh dan kurang gemar membaca mungkin dik kesibukan menyebabkan hasrat itu berlalu bagai angin. Namun kebelakangan ini semangat membaca kembali membara, 2016 saya habisi dengan bacaan buku bersifat santai bertajuk “The Girl on the Train” – Paula Hawkins dan permulaan 2017 pula saya mulakan dengan “Ayahku” – Pak Hamka. Tahun ini saya berhasrat setiap buku yang habis dibaca akan saya tuliskan sinopsis dan rumusan.

Buku “Ayahku” diperkenalkan kepada saya oleh seorang sahabat dan juga guru saya Saudara Faridzul Nasaruddin ketika saya, beliau dan seorang lagi guru dan sahabat Saudara Nadzir Ibnu Helmi bersama makan tengahari di KLCC sekitar bulan Mei 2016 (makan tengahari bujang terakhir untuk beliau bersama kami). Diwaktu itu Saudara Faridzul membawa buku tersebut dan serba sedikit memberi sedikit fakta berkenaan buku tersebut. Saya pasti beliau telah habis membaca buku tersebut.

“Ayahku” sepintas lalu

Buku yang bertemakan biografi & sejarah ini mempunyai 25 bab yang saya boleh bahagikan kepada 2 bahagian utama iaitu pengkisahan perkembangan Islam di Indonesia khususnya Minangkabau dan keperibadian dan asal usul Hj Rasul, ayah kepada Pak Hamka.

Membaca “Ayahku” seumpama membaca tesis sejarah yang sarat dengan fakta bersesuaian dengan kelayakan penulisnya. Dimulainya dengan kewujudan kerajaan Sriwijaya yang membawa agama Buddha, kemudian kerajaan Majapahit yang punyai mencapai kegemilangan di zaman Gajah Mada menjadi Patih. Walaupun pertukaran kerajaan dan maharaja berlaku diikuti juga agama anutan mereka sama ada Hindu atau Buddha, masyarakat minangkabau rupanya sudah menyusun adat istiadat tersendiri yang dibahagikan kepada Kota Piliang dan Budi Caniago lantas menjadikan pemerintah tertinggi sekadar lambang sahaja. Kemasukan Islam ke Indonesia direkodkan oleh riwayat yang ditulis Tun Sri Lanang di dalam ‘Sejarah Melayu‘ melalui Acheh dan terdirinya sebuah kerajaan diketuai oleh Raja Pasai (Pasai merujuk kepada kawasan di Acheh).

Dituruti selepas itu dengan penjelasan berkenaan keadaan masyarakat minangkabau sekitar abad ke-18 yang mengalami kemunduran semangat dan jiwa sehingga menatijahkan perkelahian antara suku, keruntuhan moral dan akhlaq sehingga agamawan menjuruskan pembelajaran kepada bidang Tasawuf, justeru membentuk beberapa tariqat. Kepulangan 3 anak muda pulang belajar dari Mekah mencetus revolusi kepada masyarakat Minangkabau. Dengan semangat yang agak radikal (mungkin bersesuaian dengan situasi masyarakat Minangkabau yang sudah agak jauh dari agama) dan tenaga kepemudaan dikumpulkan beberapa lagi ulama muda yang sealiran membentuk barisan hadapan mentadbir negeri dengan Islam dengan pendekatan agak keras sehingga terjadi krisis antara golongan tua (yang mahu lebih rasional dan bertoleransi keadaan masyarakat semasa) dan golongan muda (yang bersemangat dan inginkan hasil yang cepat).

Zaman Penjajahan

Hj Rasul hidup (1879 – 1945) diera penjajahan Belanda (1800 – 1942) dan Jepun (1942 – 1945). Diketika period ini juga menyaksikan keruntuhan khalifah Uthmaniyah (1924) dan perkembangan Islam diseluruh pelosok Indonesia bermula dengan peperangan demi peperangan, kemudian kesedaran memperkukuh agama melalui pendidikan, revolusi minda dan jiwa berlandaskan Tauhid serta keberanian menghadapi pemerintah yang juga merupakan penjajah; semuanya dipelopori oleh ulama’ yang kebanyakkannya dipengaruhi oleh pemikiran guru-guru mereka di tanah Arab (Syeikh Ahmad Khatib – salah seorang guru kepada Hj Rasul), dan para alim ulama’ yang muncul meniupkan kembali semangat menegakkan semula khilafah Islamiyah post keruntuhan khilafah uthmaniyah di Turki.

Dengan pendidikan yang ada pada Hj Rasul dan sikapnya yang sangat berpegang teguh dengan kebenaran beliau mengadapi pemerintahan Belanda dan Jepun dengan penuh tawakkal dan keimanan yang tinggi. Dengan keberanian yang tiada tolok banding oleh ulama’ sezamannya, beliau sangat dihormati dan disegani oleh kawan mahupun lawan dan cinta serta kasih anak muridnya pula makin mendalam.

Didalam buku ini diceritakan beberapa peristiwa dan momen bagaimana Hj Rasul menjadi penasihat/pemimpin kepada gerakan-gerakan penentangan ordonansi (ordinan yang hendak dilaksanakan) pihak pemerintah semasa Belanda serta sikapnya yang tegas dan berani mati terhadap istiadat ‘Keirei’ (penghormatan kepada Maharaja Jepun sebelum bermula majlis). Segalanya dipaksikan kepada tawakkal yang sangat tinggi kepada Allah serta keimanan yang utuh. Beliau tidak segan silu pula menegur dan mencela sikap pengecut para ulama’ dan sentiasa menganjur kepada kesatuan umat Islam yang jitu dalam menghadapi penjajah.

Sikap Hj Rasul

Sesudah baligh beliau terus di hantar ke Mekah dan belajar dari guru-gurunya disana terutama Syeikh Ahmad Khatib. Beliau sangat tekun, juga tidak mudah untuk menerima sahaja apa yang disampaikan oleh gurunya. Beliau suka bertanya dan berdebat (Syeikh Ahmad Khatib pula sangat terbuka dalam pembelajarannya) sehingga ada beberapa murid seangkatannya merasa beliau keterlaluan kerana seolah-olah bersikap kurang ajar dengan guru.

Namun, pembelajaran seumpama itu menyebabkan dia disayangi oleh gurunya dan menjadi kan dia murid yang tangkas belajar serta berani pula berhadapan dengan sesiapa untuk mencari kebenaran. Ketika beliau mengajar sekembali dari Mekah, begitu jugalah pendekatan yang beliau ambil, menggalakkan anak muridnya berbicang dan berdebat, jangan sahaja membantah setelah beliau keluarkan fatwanya kerana beliau sangat pemarah dan mudah melenting apabila disanggah.

Beliau punya keyakinan diri yang sangat tinggi bersesuaian dengan ilmunya yang mantap. Pernah beliau memberhentikan mufti Mesir yang sedang berceramah diatas pentas semasa kongres di Mesir yang kebanyakkan yang hadir adalah ulama’ dari bumi Arab. Pidatonya tajam menempelak para ulama’ yang lemah bersekali dengan penjajah yang turut hadir dimajlis pidatonya. Kata-kata nasihatnya tajam dan membekas apabila dia meninggalkan wasiat kepada anak muridnya juga kepada para pemimpin organisasi Islam yang ada pada ketika itu khususnya organisasi Muhammadiyyah yang kebanyakkan keluarganya serta anak muridnya merupakan ahli dan pimpinan di pelbagai peringkat.

Krisis

Sebagai pejuang agama beliau tidak dapat lari dari krisis yang mengancam kehidupan, jiwa dan nyawa beliau. Beliau pernah dibuang daerah, rumahnya runtuh akibat gempa bumi, pernah dibawa oleh penguasa Jepun dan disangka tidak akan kembali, dituduh alat dan bersekongkol dengan pemerintah (Belanda) apabila gerakan komunis mula menjalar, anak muridnya yang mula renggang dan menjauhkan diri kerana sikapnya yang keras, ulama’-ulama’ yang memusuhinya, berhadapan dengan pelbagai fitnah, semuanya dihadapi dengan tenang dan penuh tawakkal kepada Allah.

Beliau sentiasa solat berjamaah, istiqamah dalam bertahajjud, membaca di kutub khannah nya dan menulis, mulutnya sentiasa berzikir dan membaca hafazannya walau ketika perjalanan dengan sahabatnya.

Kepada ulama’ yang menentangnya, dikeluarkannya risalah dan karangan menjelaskan pendirian beliau lengkap dengan dalil dan hujjah beserta jawapan kepada hujjah dari ulama’ tersebut. Demikian pula ulama’ tersebut akan membalas dengan karangan beserta hujjahan (begitulah adab orang berilmu apabila bertentangan pendapat walaupun kedua belah pihak keras).

Kesimpulan

Banyak dapat dipelajari dari buku ini yang mungkin tidak mampu saya tuliskan semua secara terperinci. Pada mulanya mungkin akan ada kekeliruan disebabkan pelbagai gelaran yang mengikut adat Minangkabau (sehinggakan orang yang sama akan ada 3 nama panggilan contohnya moyang kepada Pak Hamka bernama Abdullah ‘Arif, juga dipanggil Tuanku Pariaman, juga dipanggil Tuanku Nan Tuo) maka perlu ada usaha pembaca untuk memahami susun atur adat Minangkabau yang dijelaskan serta kekadang perlu kembali ke muka surat terdahulu.

Di dalam “Ayahku” dipaparkan susun atur adat Minangkabau, dibentangkan sejarah penjajahan Belanda dan Jepun serta perkembangan Islam dan organisasi Islam yang wujud sehingga sekarang atau yang pernah ada, dikisahkan berkenaan ulama’ yang menyumbang kepada revolusi Islam di Indonesia sama ada yang berasa diluar contohnya di Mekah yang menjadi guru atau yang kembali dari Mekah yang kemudiannya mengemudi masyarakat kepada Islam sebenar. Buku ini juga mendedahkan situasi masyarakat Islam minangkabau yang saya rasa sangat rapat cara kehidupannya dengan masyarakat Melayu Malaysia.

Yang paling tersentuh dalam penceritaan “Ayahku” adalah peribadi Hj Rasul sendiri yang menghadapi situasi yang tidak jauh bedanya dengan situasi kita sekarang di Malaysia. Menyebabkan saya bertambah yakin bahawa para ‘ulama yang bersifat haraki akan sentiasa menghadapi ujian yang hampir sama dan mereka juga akan mendepaninya dengan kaedah yang sama iaitu tawakkal dan dekat kepada Allah.

Sesungguhnya para ulama’ sezaman dengan Hj Rasul memainkan peranan yang sangat signifikan dalam melahirkan masyarakat Muslim Indonesia yang sangat cakna dengan pembangunan Islam. Hanya sahaja agak menyedihkan (perkara yang sama berlaku di zaman Hj Rasul) apabila ummah ini tidak bersatu sehingga memudahkan musuh mempermainkan kita dan agama Islam yang kita cintai. Sungguh, buku ini insyaAllah sangat memberi kesan kepada pembacanya.

Gambar yang kami sertakan di artikel ini adalah figur lelaki-lelaki yang muncul dalam sejarah hidup Hamka. Sebelah kiri adalah gambar Hamka bersama ayahnya, Hj Rasul. Manakala gambar disebelah kanan pula adalah 2 lelaki yang tidak kurang hebat pengaruhnya kepada Hamka, iaitu: Sukarno dan Hj. Agus Salim.

warungbooku

2 Comments

  1. Salam. Satu dari dua gambar yang disertakan dalam tulisan ini bukanlah gambar Buya Hamka. Lelaki yang duduk bersama Sukarno adalah Haji Agus Salim, bukan Hamka. Mohon diperbaiki. Terima kasih.

    • Salaam tuan. Terima Kasih di atas maklum balasnya. Saya akan letakkan di dalam caption menerangkan nama figur2 dalam gambar ini seperti di nyatakan tuan. Terima Kasih di atas input ini 🙂