Ulasan Buku: ‘Merantau Ke Deli’ dari Adia Feliz

Ulasan terbaik novel Merantau Ke Deli, yang telah di hantar oleh Adia Feliz kepada kami, pada bulan Mac 2017:

“Sebenar-benarnya, saya baru dua, tiga hari ini sahaja mengenal Hamka. Ini buku pertama nukilan beliau yang saya habiskan pembacaannya. Memang indah, sarat lagi mengena.

Hidup merantau, bekerja jauh di negeri orang membuatkan buku ini terasa dekat betul di mata saya. Saya terpanggil untuk menulis ulasan ini kerana buku beliau yang satu ini ada sudah di tangan saya, lagi pula ada orang mahu menekun ulasan saya, saya usahakan tulisan ini. Padahal, bertahun-tahun lamanya saya mendengar nama beliau, saya tahu harum namanya dalam dunia penulisan rantau ini tidak saya pedulikan. Belum sampai seru.

Setelah saya baca buku ini, ternyata bahasanya tidak berat seperti yang saya sangkakan sebelum ini. Tema poligami, hidup bermadu dan perihal adat yang dibawa dalam buku ini sungguh berat, sedikit sensitif tentunya bagi kaum wanita tetapi ringan sahaja lenggok cerita dan perbualan antara watak-wataknya. Mudah faham, jelas dan lurus.

Saya bukan orang Minang bukan juga Jawa. Hanya Melayu bercampur darah Siam dan India. Tidak banyak, sedikit saya tahu adat-adat orang Minang dan Jawa sepanjang saya keluar dari tanah Jelapang Padi. Setelah membaca, banyak saya belajar dan tahu bagaimana serta apa yang berlaku terhadap seorang pemuda Minang dalam hidupnya seperti Leman. Bagaimana juga penerusan hidup seorang wanita Jawa si Poenim, yang bijak lagi baik budi. Fahamlah juga saya sedikit bagaimana ditatang anak perempuan Minang, cara mengasihi mereka dan apa letak duduk mereka dalam suku berlembaga itu. Semuanya memberikan ilmu buat saya.

Tentang hal perkahwinan, poligami, bergaul dalam rumah tangga dan suasananya memberikan saya sebuah kefahaman yang baru bahawa manusia itu hatinya bolak -balik. Yang hari ini terasa teguh betul pendiriannya, esok sudah kendur meleleh tiba-tiba. Sikap ini saya lihat pada Leman. Pandangan saya tinggi pula terhadap Poenim. Saya fikir dia cuma perempuan biasa mahu hidup pun biasa-biasa namun salah pula jangkaan saya. Dia malah orangnya sangat berbudi bahasa, tahu diuntung, bijak dan mahu berubah hidup menjadi dekat dengan Tuhan. Sungguh tabah mbak ayu ini. Terkesan betul saya dengan ranjau hidupnya kerana ya, kami insan menumpang di tanah orang. Kalau ada yang ikhlas betul menghulur tangan mahu memberi, mahu pula sehidup semati pasti kami terima dengan penuh pengharapan.

Manusia itu tidak boleh hidup sendiri, takut ditelan kesunyian. Mariatun isteri kedua Leman, orang senegeri lagi seadat, muda orangnya pastilah sedikit pendek akalnya. Sedari kecil lahirnya ditimang-timang tidaklah pandai betul berpanas-panas,bersusah-susah di tempat orang. Suyono, pemuda yang asalnya kuli, anak semang rupanya-rupanya punya jiwa besar. Cukup berbudi dan bijak juga seperti Poenim. Memang bukan anak semang biasa!

Saya belajar lagi bahawa hidup ini pasti ada turun naik rodanya. Yang senang tidak selamanya senang. Yang susah tidak selamanya susah. Yang susah sudah senang, boleh pula susah dan senang kembali. Roda tuan-tuan! Memaafkan dan menyelesaikan hal dendam memang sukar tetapi boleh ia jadi senang dengan jiwa dan pemikiran waras. Walau hidup kacau sehari-hari , berkeringat mencari sesuap nasi, ia menjadi aman dengan hati yang sentiasa tahu bersyukur dan berpada-pada. Kebijaksanaan serta budi seseorang manusia itu memang terlihat dari kata-kata dan cara hidupnya.

Pendek kata, buku ini telah memberi banyak teladan kepada saya. Juga ilmu hidup. Saya sengaja membaca lambat-lambat di akhir bab buku ini kerana berat hati menghabiskannya. Tidak mahu lekas sampai ke penghujung. Sedar saya bahawa penulisnya Buya Hamka sudah tiada di dunia. Tidak akan ada lagi sambungan kisah ini.

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang watak, perwatakan dan plot cerita ini. Biarlah saya sentuh sedikit sahaja buat mengajak orang jadi tertarik dan mahu membaca nukilan ini. Persiapkan diri anda dengan keterbukaan dan penerimaan ketika membacanya. Baru senang dihadam segala isi tersurat dan tersirat. Memegang sebahagian adat itu seni indah, menurutnya penuh membawa padah. Ikatlah adat budaya dengan tali agama. Pasti jelas lagi indah hidup bertujuan.”

warungbooku