Ini Dia Propaganda Ahli Politik Sekarang Yang Dilaung Firaun Terdahulu

Selalu kita dengar dalam ucapan ahli politik, mereka akan menyebut “Ini tanah kita”, “Negeri kami untuk kami” dan yang sama dengannya. Inilah antara propaganda yang berkesan dalam ucapan ahli politik ketika mempromosikan kempen pilihanraya.

Berjalan Melihat MentafsirUstaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz menulis dalam bukunya Berjalan… Melihat… Mentafsir. Terbitan PTS Publishing House pada halaman 235-236.

Selain senjata ini, senjata dengan memburukkan pihak lawan juga sering digunakan orang-orang politik sekarang ataupun yang dulu-dulu. Rupa-rupanya ia adalah senjata ahli politik purba, iaitu Firaun. Propaganda ini tetap masih diikuti oleh orang-orang politik sekarang.

Firaun adalah seorang ahli politik yang licik dan bukannya seorang warga patriotik yang benar-benar mencintai negaranya. Kita sedia maklum orang politik sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan kedudukan mereka.

Allah merakamkan kisah licik Firaun ini di dalam al-Quran:

"Firaun berkata “Patutkah engkau datang kepada kami bagi mengeluarkan kami dari negeri kami dengan sihirmu, wahai Musa?” – Surah Taha, ayat 57

Firaun sengaja membangkitkan perkataan ‘bumi’ atau ‘negeri kami’ ketika berbicara kepada rakyat bawahan sebagai suatu strategi bagi menakutkan rakyatnya akan bahaya menjadi pengikut perjuangan Nabi Musa a.s.

Ini antara contoh propaganda yang pernah disebut oleh ahli politik kita yang mirip-mirip propaganda Firaun:

“Jangan gadai nasib anak cucu dan nasib negara kita dengan membuat pilihan yang salah dalam pilihanraya”

Ada juga yang memberi ucapan dengan memburuk-burukkan seteru politik.

“Mereka semua mabuk, jangan percaya”

“Jika tidak kekalkan pemerintahan sekarang, semua dari kita akan miskin selepas ini dan dijajah oleh bangsa lain.”

Itu antara seruan-seruan yang pernah disebut dan kita sendiri barangkali pernah mendengarnya. Pihak lawan biasanya dipropagandakan sebagai manusia jahat dan berhasrat merebut kebebasan rakyat, sedang yang berbicara itu sebenarnya iblis yang bersebati dalam jasad manusia.

Pendekatan ini biasanya berjaya mempengaruhi rakyat bawahan yang dangkal ilmunya. Lebih bodoh rakyat bawahan, maka lebih mudahlah propaganda disuntik masuk ke dalam minda mereka. Allah berfirman,

“Dengan demikian, maka Firaun memperbodohkan kaumnya lalu mereka mematuhinya. Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik.” – Surah Az-Zukhruf, ayat 54

Beginilah kitaran hidup manusia di dunia ini. Ia akan sentiasa berulang dengan watak, masa dan lokasi yang cuma berbeza tetapi kontennya tetap sama.

Jadikan sebagai pengajaran sesama kita.

Tulisan oleh: Editor Baca Reviu 

warungbooku