Kassim Ahmad Mencari Jalan Pulang – Sebuah Ulasan

Sharina M Salim, salah seorang peserta Cabaran Buku Jalanan Titi, menghantar ulasan beliau yang ke-3 yang disiarkan di sini. Ulasan yang sama di sertakan di artikel ini:

Saya memulai bacaan ini dengan menyemak profil penulis yang disertakan dengan ringkas di laman Goodreads. Sejujurnya saya tidak pernah ambil tahu siapa Kassim Ahmad dan hanya mengenali beliau secara tidak langsung ketika saya masih belajar di kampus, kerana label yang diberikan kepada beliau “anti hadis”, figur yang  sesat yang membawa fahaman bahaya kerana boleh memesongkan akidah. Saya pun tidak pernah semak mengapakah beliau dikatakan anti hadis dan 10 tahun kemudian (kini), saya berpeluang membaca salah satu karya beliau yang diharamkan dan cuba memahami secara objektif mengapa ia diharamkan.

Seusai membaca profil ringkas beliau, saya terdiam sebentar kerana, beliau yang saya kenali dari akhbar dan tabloid sebenarnya mempunyai kepakaran lain yang selayaknya diketahui masyarakat generasi saya dan ke hadapan, dan bukan semata-mata dari karya-karya kontroversi beliau yang diharamkan seperti: “Hadis: Satu Penilaian Semula” dan buku yang saya baca (rujuk tajuk ulasan) ini.  Beliau rupanya menulis “The Characterization of Hang Tuah”, yang merupakan karya yang mengangkat namanya, dan menterjemah karya falsafah “Plato”, tulisan R.M Hare, cerita pendek berkisar kehidupan orang melayu, puisi, tulisan berkenaan teori falsafah dan keadilan sosial. Pada zamannya, beliau adalah seorang pemikir dan ahi falsafah yang dihormati. Lingkungan sahabat dan kenalan beliau yang disebut-sebut dalam buku ini, kesemuanya figur hebat yang dihormati dan masih membawa mej dan nama baik  hingga kini; antaranya Prof Ungku Aziz, A Samad Said, Prof Naquib Al Attas, Syed Husin Ali, Tun Mahathir, Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam, Dr Siddiq Baba, Adibah Amin antara lainnya.

Buku “ Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam“ adalah tulisan memoir yang menceritakan kisah hidup, proses pendidikan formal dan tidak formal, perjalanan kerjaya beliau sebagai pemikir, ahli akademik, ahli falsafah, sasterawan dan ahli politik sayap kiri di tanah air. Beliau berkongsi bagaimana proses ini membentuk pemikiran dan sisi pandang beliau dan bagaimana sisi pandang ini berubah sesuai dengan kematangan beliau dan perkembangan yang berlaku di dunia luar.

Mengenali Pak Kassim dari buku ini, saya dapati beliau seorang yang suka berfikir dan komited mencari jawapan kepada persoalan persoalan yang timbul dari proses berfikir tersebut. Beliau bukanlah orang yang hanya mengikut ‘status quo’ tetapi berani memberi naratif baru dengan mencabar status quo yang dirasakan tidak selari dengan prinsip dalam al-quran. Antaranya, penilaian semula beliau terhadap watak Hang Tuah yang telah berzaman-zaman menjadi kebanggaan orang melayu (melalui tesis beliau – Perwatakan Hang Tuah). Beliau memberi tauladan alternatif kepada orang melayu, iaitu Hang Jebat yang memegang teguh prinsip kebenaran dan keadilan, yang selari dengan islam dan seruan al-quran. Beliau berpendapat, watak ini lah yang perlu ditauladani oleh orang melayu islam.

Beliau membesar dalam lingkungan kampung dan keluarga yang mempelajari al-quran – dari belajar membaca hinggalah menghafaz. Proses ini menyebabkan beliau tidak ‘puas’ belajar al-quran kerana tidak memahami langsung makna dan tafsiran ayat-ayat alquran dan atas inisiatif sendiri, beliau mencari pelbagai versi terjemahan quran untuk dibaca dan ini memberi kepuasan kepada beliau.

Mengakui bahawa beliau adalah penganut ‘Islam baka’ dan dalam proses ‘mengenali semula islam’, beliau dihantui oleh beberapa konsep yang dibincangkan dalam islam, yang mana pada ketika itu beliau gagal temui jawapan yang memuaskan – isu hamba abdi, kedudukan wanita, harta pusaka dan hukuman keras seperti potong tangan dan pancung kepala. Beliau terus mencari, membandingkan pelbagai sumber hinggalah menemui jawapan yang memuaskan. Bagi beliau, tiada apa yang salah dengan al-quran dan islam. Sesuatu dalam agama itu kedengaran pelik, tidak rasional, zalim dll adalah kerana kemungkinan kesilapan tafsiran, atau tafsiran lama yang belum diperbaharui dengan kaedah penyelidikan terkini yang lebih inklusif dan menyeluruh (integrated). Beliau percaya, ilmu dan cara mendapatkan ilmu itu harus berkembang mengikut arus zaman.

Beliau berani berkongsi, berdialog dan mempertahankan kepercayaannya meskipun terpaksa berhadapan dengan kritikan hebat, kerana beliau yakin dengan apa yang beliau fahami dan pegang. Menariknya, pendapat beliau berkenaan kritikan dan penilaian semula hadis-hadis yang bertentangan dengan prinsip al-quran; hasil dapatan pelbagai buku, bahan akademik dan tafsir al-quran; apabila dikongsi dengan ahli akademik, ulama, ahli politik, figur tertinggi dalam insititusi islam melalui dialog tertutup, tidaklah mengundang ‘kontroversi’ kerana suasana dialog tersebut kekal profesional dan objektif. Sehinggalah apabila beliau mengambil keputusan menerbitkan ulasan dan jawapan kepada kritikan ilmiah ke dalam bentuk buku dan diedarkan kepada massa, kontroversi pun bermula. Label anti-hadis kepada beliau umpama ‘cap mohor’, kekal ke atas batang tubuh beliau hingga kini, dibidas, di hina  di mimbar-mimbar khutbah dan akhbar. Watak pemikir, ahli falsafah, pendidik, sasterawan dan pejuang politik tidak lagi sinomim dengan beliau.

Mengapa kerajaan dan institusi islam di Malaysia ketika itu (dan kini) membuat keputusan untuk mengharamkan karya-karya beliau?

Mengurus perbezaan pendapat bukanlah kerja mudah, terutama apabila melibatkan masyarakat yang pelbagai tahap pendidikan, latar belakang dan tahap kefahaman; terutama bagi peringkat paling atas (kerajaan), boleh jadi kerana terdapat kembimbangan apabila perbezaan pendapat tersebut boleh menjadi ancaman kepada kestabilan sosial dan politik untuk jangka masa panjang jika tidak dibendung.

Kassim Ahmad ada menyebut bahawa beliau faham  (meskipun tidak bersetuju) mengapa sesetengah keadaan, ISA perlu di gunakan meskipun  bertentangan dengan hak assisi manusia, di atas prinsip “mudharat kepada individu terpaksa dikenakan untuk mengelak mudharat kepada umum yang lebih besar”. Jika prinsip yang sama digunapakai ke atas masyarakat yang masih belum matang menilai dan mengurus perbezaan, tentulah ia menjadi asbab mengapa karya beliau yang tidak selari dengan autoriti di haramkan, malah sesi dialog bersama beliau juga tidak dapat kebenaran untuk di anjurkan.

Sepanjang saya membaca buku ini, ada beberapa fakta, tafsiran yang membentuk kefahaman beliau, yang saya rasakan agak janggal dan belum pernah saya temui, lalu agak sukar saya mahu menerimanya. Antaranya:

1. Yakjuj & Makjuj, Dajjal, Al-masih dan Imam Mahdi adalah metafora.

2. Syurga dan Neraka bukanlah tempat, tetapi keadaan.

3. Tauhid dan konsep pengabdian kepada Allah adalah wajib dan ia sebahagian dari konsep monoetism. Tetapi, undang-undang, ibadah dan cara hidup dibenarkan dengan cara pelbagai dan beliau katakan ia selari dengan quran – 22:67

Jadi, bayangkan sahaja pendapat beliau berkenaan 3 perkara di atas disebar luas kepada masyarakat islam melayu yang mempunyai pelbagai tahap pendidikan, kematangan, latar belakang dan skil menafsir. Pertimbangan harus dibuat oleh karajan dan institusi agama bagaimana mengurus respons masyarakat terhadap antaranya 3 parkara tersebut, dan akhirnya berpendapat ia perlu dibendung dan tidak disebar luaskan. Namun, Kassim Ahmad menjadi mangsa keadaan kerana pendapat yang dipegangnya. Karya telah pun diharamkan, tetapi sayangya, imej beliau telah rosak dan sukar dibaiki lagi meskipun setelah puluhan tahun. Kepakaran beliau yang lainnya tidak lagi dipeduli.

Ada cara lain yang mungkin boleh digunakan badan berautoriti dalam mengurus karya yang ‘kontroversi’ ini, tanpa perlu diharamkan. Penghasilan sebuah karya telah melalui proses fikir, penyelidikan pelbagai sumber; lalu lahirlah idea idea dalam bentuk buku. Idea yang salah atau jahat sekalipun, mestilah dilawan dengan idea yang dirasakan benar. Kerana, kebenaran akan menang, idea yang ‘salah’ pasti akan dikalahkan oleh kebenaran. Sesi dialog, perbincangan secara berhemah adalah cara bagaimana idea ‘salah’ ini boleh dikalahkan dan dipatahkan, bukannya melalui pengharaman buku atau risalah.

Pendapat peribadi saya terhadap Kassim Ahmad – beliau seorang anak melayu yang kritis, berani berfikir, tekun, spiritual dan idea beliau wajar diadili secara objektif kerana, ada beberapa pendapat beliau yang lain, saya rasakan wajar direnung, selaku beliau seorang pendidik, sasterawan, ahli falsafah, yang percaya dengan prinsip keadilan sosial mengikut acuan islam, melalui Al-Quran. Buku beliau penuh dengan nota kaki dan rujukan beliau adalah ayat-ayat Al-Quran yang pada tafsiran beliau, menyokong pendapatnya. Tidak dinafikan, pada peringkat peribadi, saya sendiri tidak bersetuju dengan penafsiran beliau dalam beberapa perkara dan saya tidak dapat bayangkan bagaimana masyarakat terbanyak memberi respon masing-masing yang pelbagai. Pastilah bakal memberi masalah kepada autoriti jika tidak ditangani dengan baik.

Oleh kerana beliau adalah sasterawan, saya merasakan kerana itu beliau cenderung menganggap beberapa istilah dalam al-quran adalah metafora semata mata dan tidak patut difahami secara literal. Beliau pernah menulis sajak bertajuk “Sidang Ruh”, yang mana ada istilah kontroversi “Tuhan telah mati”. Sedangkan yang beliau maksudkan ialah “kezaliman yang terlalu bermaharajalela kerana manusia menganggap Tuhan telah mati”, bukanlah bermaksud beliau tidak lagi percayakan Tuhan dan menjadi atheis. Bahkan beliau menulis ulasan kritikan kepada Richard Dawkins (seorang saintis dan atheis) atas karyanya The God Delusion.

Istilah ‘pulang’ dalam buku ini membawa maksud, beliau telah kembali berjalan atas jalan yang lurus setelah berjuang di sebelah kiri (memilih acuan al quran berbanding teori sosialism dari Karl Marx, Lenin dll).

Satu ayat Kassim Ahmad yang saya akan ingat – Berfikir itu memerlukan keberanian.

Komik: Permulaan Pupuk Minat Suka Membaca

Komik, selalu di anggap ‘bahan bacaan murahan’ atau kurang bernilai, dan tiada kebaikan yang boleh didapati dari membaca komik. Selain membawa konotasi negatif kerana ‘dituduh’ secara umumnya nya menggalakkan aktiviti ganas, merosakkan penggunaan bahasa dan pelbagai unsur negatif lain.

Komik seperti Doraemon, Naruto, Pokemon dan Dragon Ball, Hunter X Hunter dari Jepun, tidak terlepas dari pandangan negatif sesetengah ibubapa dan warga pendidik. Ibu bapa lebih gemar bertindak memilih buku-buku yang mereka rasakan bermanfaat untuk anak-anak, asalkan ia bukan dari genre “komik”.

Persepsi ini perlu berubah. Tidak di nafikan, pantauan ibu bapa dan guru adalah perlu dalam pemilihan komik. Komik sebenarnya adalah alat bantuan mengajar yang ideal untuk memupuk minat membaca dikalangan pelajar atau kanak-kanak. Di Malaysia, pasaran komik dengan tema pendidikan (edukomik) semakin meluas dan ini sayu berita baik untuk memperkenalkan komik kepada anak dan pelajar kita.

Mengapa anak anak kita perlu diraikan dengan komik?

#1 – RINGKAS & MENARIK

Kanak-kanak sukakan sesuatu yang menghiburkan, ringkas, menarik serta mempunyai kaitan dengan rutin mereka. Jumlah mukasurat yang tidak terlalu banyak, jalan cerita yang tidak terlalu panjang, dan lazimnya disusun mengikut  episod. Novel grafik juga hampir sama dengan komik, bezanya ialah novel grafik membawa jalan cerita yang tamat dalam satu buku, tanpa episod bersiri.

Kedua-dua komik dan novel grafik merupakan medium yang menepati ciri ciri “ringkas dan menarik” dalam menyampaikan ilmu.

#2 – MEDIUM KREATIF

Medium terbaik dan kreatif menyampaikan ilmu yang kompleks seperti sains, matematik, sejarah dan geografi. Sistem pendidikan di Jepun mahupun Korea begitu progresif sekali apabila banyak medium pengajaran mereka dikomikkan, termasuklah cara-cara baiki kereta dan pelbagai resipi makanan.

Komik hasil kartunis terkenal negara, Datuk Mohd Nor Khalid (Lat), Kampung Boy, telah dijadikan sebagai bahan bacaan buku teks di Australia, diiktiraf sebagai literature comic.

#3 – BANYAK GRAFIK, KURANG TEKS

Komik mempunyai lebih banyak gambar daripada teks. Peratusan gambar yang lebih banyak dari teks membantu kanak-kanak yang kurang gemar membaca ‘bertatih’ melazimi buku. Ini lebih baik dari membiarkan mereka jauh hati dengan buku kerana tidak suka atau ‘overwhelmed’ dengan teks yang banyak.

#4 – NILAI MURNI & POSITIF

Belajar dan mengenal nilai murni secara bersahaja. Contohnya, karakter komik Doraemon adalah watak hidup seperti ada watak rajin, pemalas, kaki buli dan semua karakter ini hidup di sekeliling kehidupan kita, jadi bila kanak-kanak baca komik mereka rasa dekat dan mereka suka kerana menghiburkan.

#5 – SKIL IMAGINASI

Komik berupaya merangsang imaginasi kanak-kanak, sekaligus mendidik mereka untuk menjadi kreatif.  Komik Doraemon, memperkenalkan pintu suka hati, kadang-kala ada elemen sejarah kerana diceritakan zaman hulubalang, ada futuristik yang melangkaui sempadan geografi. Ini salah satu cara mudah membuka minda anak-anak dan cara ini jauh lebih baik dari siri television!

#6 – SIFAT EMPATI

Pembacaan komik juga mendidik kanak-kanak untuk mengenal pelbagai jenis emosi serta pemahaman simbol tanda baca hasil daripada lakaran riak muka karakter berkenaan.

Di Malaysia, semakin banyak komik berbentuk pendidikan diterbitkan dalam Bahasa Malaysia. Ibu bapa dan guru tidak perlu risau kerana anak dan pelajar boleh mendapat akses komik berkualiti yang mampu memberi manfaat-manfaat yang dikongsikan di atas, dengan harga yang berpatutan. Komik-komik di sini ditulis dan diterbitkan sesuai mengikut peringkat umur dan kecenderungan. Ada komik bertemakan pengembaraan, sains fiksyen, sejarah, pendidikan, moral/akhlak, dunia sukan, agama dan pelbagai. Ambil langkah pertama untuk anak anda menyukai buku, melalui komik yang sesuai dengan minat mereka.

Pesan Za’aba Kepada Kaum Ibu….

Bahagia rasanya apabila semakin ramai pembaca muda yang melazimi karya Za’ba, terbitan Dewan Bahasa & Pustaka ini. Mungkin kerana inti karya ini di sebut-sebut oleh beberapa figur berpengaruh; influencer dalam dunia buku seperti Tuan ZF Zamir dalam post beliau di sini, selain penerbit buku yang progressif seperti Jejak Tarbiah yang menerbitkan buku Revolusi Budi yang berinspirasikan pemikiran Za’ba.

Za’ba agak popular di kalangan massa, dengan karya beliau ‘Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri’. Namun, jika di ‘bedah’ karya beliau yang lainnya, seperti ‘Mencapai Keluhuran Budi’, pembaca akan terpukau dengan begitu jelas dan terangnya huraian idea yang cuba di sampaikan Za’ba, berkenaan pengamalan agama sebenar yang harus di hayati oleh orang melayu di zaman itu. Di sulami kritikan sosial dan huraian tentang hakikat serta konsep beragama, Za’ba juga memberi anjuran bagaimana seharusnya muslim perlu menggunakan akal kurniaan Allah dalam beragama.

Salah satunya, Za’ba berbicara tentang tanggungjawab ibu bapa.  Za’ba menekankan tentang betapa pentingnya bagi ibu bapa jalankan tanggungjawab mereka dahulu terhadap anak sebelum mereka menuntut hak dari anak untuk menghormati dan menjaga mereka pula. Dalam mendidik anak-anak, saya kira Za’ba menekankan ‘substance is more important than form’. Aspek budi mesti ditekankan dalam mendidik anak-anak, bukan sekadar pengalaman agama secara luaran atau fizikal sahaja. Agak terpukau saya apabila membaca pesan Za’ba kepada ibu-ibu, dengan memberi gambaran aspirasinya terhadap wanita (ibu) yang mencorak pendidikan anak dan keluarga. Bagaimanakah sebenarnya yang dikatakan wanita atau ibu yang hebat dan terpelajar itu?

Ibu yang berpelajaran istimewa pada zaman kemajuan sekarang ini,

Ibu yang celik matanya mengetahui hal-hal dunia yang lebih luas dari kelongkong dapurnya dan ceruk-ceruk keliling rumahnya dan daerah kampungnya,

Ibu yang mengerti perkara-perkara lebih tinggi daripada berbualkan rantai emas dan kerabu intan dan sebagainya,

Ibu yang lebih bertanggungjawab daripada semata-mata hendak bersolek dan meniru-niru pembawaan Barat![/su_quote]

Sejak dari tahun 1920-an lagi Za’ba  menasihatkan golongan ibu bukan sekadar berbicara tentang kerja dapur, rantai emas dan bersolek semata-mata. Tetapi, peranan wanita dan ini adalah lebih dari itu, seiring dengan kaum bapa dalam pendidikan anak-anak dan pentadbiran rumahtangga, melayu suluhan agama dan ilmu.  Za’ba menyeru wanita menjadi woman of substance dan tidak hanya mementingkan perkara-perkara luaran.

Dalam buku ini, Za’ba menghujahkan bahawa kebahagiaan, ketinggian dan kecemerlangan manusia perlu digarap melaui agama. Agama dapat membentuk, mendidik dan membesarkan manusia, sesuai dengan keadaan pada hari ini dan akan datang. Namun pemahaman agama yang verbena, menatijahkan pula medan berbeza. 10 rencana Za’ba yang dikumpulkan dalam buku ini, mengupas konsep-konsep asas dalam memahami, menghayati agama dan aplikasinya dalam hidup insan; termasuk: Agama dan tujuannya, Perlunya didatangkan agama, Agama yang sebenar, Mustahaknya pengetahuan agama, Ibu bapa – guru yang pertama, Cara-cara mendidik anak-anak, Didikan di dalam urusan rumahtangga, Kewajipan ibu bapa kepada anak-anak, Kewajipan berjimat cermat dan Faedah berjimat cermat.

Bagaimana Masyarakat Yahudi Pupuk Minat Membaca

Pada 23 April, Saudara Ayman Rashdan Wong berkongsi tulisan menarik sebagai tribute menyambut Hari Buku Sedunia. Apa yang menarik, Saudara Ayman menyelitkan tauladan buat kita, tentang bagaimana kaum yahudi memupuk minat membaca dikalangan generasi muda mereka.

Saudara Ayman menulis….

“Hari ini adalah Hari Buku Sedunia (World Book Day) yang ditetapkan oleh UNESCO (United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization) sejak tahun 1995. 23 April dipilih kerana dua penulis teragung dalam sejarah Eropah iaitu Cervantes (penulis berbangsa Sepanyol yang menghasilkan novel ‘Don Quixote’) dan Shakespeare (penulis berbangsa Inggeris yang menghasilkan ‘Hamlet’, ‘King Lear’ dan ‘Romeo and Juliet’) meninggal dunia pada 23 April 1616.

Walaupun penggunaan buku elektronik (e-book) seperti Kindle semakin menjadi pilihan, namun buku berbentuk fizikal masih mempunyai daya tarikan yang tersendiri berbanding e-book.

Pertama, buku berbentuk fizikal mempunyai bau yang harum. Antara banyak-banyak buku, buku terbitan syarikat Penguin Books paling wangi, entah jenis kertas apa yang diguna sehingga bau bukunya menyerupai mahogani. Bau buku lama juga berbeza dengan buku baru. Buku baru selalunya berbau seperti teh hitam (disebabkan kesan dakwat), buku lama kebanyakan berbau seperti vanila. Keharuman buku boleh merangsang kecerdasan otak dan menghilangkan stres, lebih kurang seperti aroma-terapi lah.

Kedua, kepuasan membaca buku berbentuk fizikal tidak sama dengan membaca e-book. Kalau buku jenis berfakta dan mudah dibaca, bolehlah membaca melalui e-book. Tetapi bagi buku-buku bergenre falsafah atau novel, buku berbentuk fizikal lebih membantu penghayatan yang mendalam.

Bangsa yang hebat adalah bangsa pembaca. Selain bangsa Jepun yang saya selalu sebut, bangsa Yahudi juga terkenal sebagai bangsa pembaca. Kerana membacalah orang Yahudi dapat ‘menguasai’ dunia melalui penguasaan ilmu pelbagai bidang. Orang Yahudi mempunyai ‘rahsia’ memupuk minat membaca sejak zaman kanak-kanak lagi: sambil mengajar kanak-kanak membaca (terutamanya kitab Torah), guru atau ibu bapa Yahudi akan bagi kanak-kanak makan manisan (misalnya madu), dengan itu dalam minda orang Yahudi akan terbentuknya sub-kesedaran (‘sub-consciousness’) bahawa ‘buku itu manis’, menjadikan mereka gemar membaca (rujuk buku Teaching Jewish Life Cycle: Traditions and Activities, halaman 26). Harap tiada yang mengatakan sambutan Hari Buku Sedunia itu agenda Yahudi pula.

Mari semarakkan Hari Buku Sedunia. Kalau dah selalu menayang gambar makanan sedap dan pakaian lawa di media sosial, apa kata hari ini tukar jadi menayang buku?


Nota: Dalam gambar: buku ‘Being and Time’ oleh Martin Heidegger adalah buku yang paling mencabar bagi saya. Sudah 9 tahun saya masih belum berjaya menghabiskan ia. Boleh cuba kalau berani.”

6 Sebab Mengapa Anda Suka Membaca (Buku)

#1 – TIKET MENGEMBARA PALING MURAH

Sambil duduk be rehat di sofa rumah atau kampung anda, tidak kira walaupun ia teletak di Kodiang misalnya, anda tetap boleh mengembara ke benua lain, negara dan kawasan asing, bertemu dengan masyarakat yang tidak pernah anda terfikir mereka wujud. Semua ini tidak perlukan harga tiket penerbangan yang mahal. Lebih dari itu, anda boleh masuk ke ruangan masa yang berbeza dari sekarang. Anda boleh pilih, mahu masuk masa lampau atau masa hadapan. Hanya dengan buku, anda boleh merantau ke tempat dan masa tanpa sempadan!

Katakan anda sedang membaca buku tulisan Malala Yousofzai dan Christina Lamb dalam edisi BM, yang bertajuk ‘Saya Malala’. Tanpa sebarang risiko keselamatan, anda telah pun merantau ke Swat, Pakistan. Anda dapat membayangkan keindahan Swat yang asli, dan diperkaya pula dengan tinggalan sejarah penganut Budhha kurun ke 2 BC. Swat juga dikenali sebagai ‘Switzerland of The East’.  Anda dapat ‘bertemu’ dengan penduduk Swat dan memahami serba sedikit budaya, cara hidup dan cara mereka bermasyarakat. Anda dapat memahami kemelut sosio ekonomi dan masalah pendidikan mereka. Menarik, bukan?

#2 – MODAL SOSIAL TERBAIK

Kebanyakkan pencinta buku yang kami temui adalah mereka yang bersifat intovert, yang selalu sinonim dengan sikap pendiam, tidak suka bercakap tanpa keperluan dan suka ruang dan masa untuk diri sendiri. Apa yang berlaku jika anda, seorang introvert yang sukakan buku; terperangkap di salah satu aktiviti sosial seperti kenduri, atau program yang mana anda dikelilingi oleh orang yang tidak di kenali, berjam-jam?

Membaca buku menjadikan anda sentiasa ‘selamat’ dengan modal sosial untuk memulakan perbualan. Bukan sekadar berbual bertanya nama, asal dan tempat belajar/kerja; kemudian terus diam dan keadaan jadi sunyi sepi.

Anda boleh sambung perbualan dengan pelbagai tajuk dari bahan bacaan anda selama ini; dari hal ewal dalam negara seperti pendidikan (Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang), kemanusiaan (Lelaki Terakhir Menangis Di Bumi), ekstrimism (Saya Malala), motivasi (Who Moved My Cheese Edisi BM), kisah imigran (The Namesake), cerita peperangan (Berlari Dari Jogja Untuk Menemukan Si Dia Di Christiana), sastera (Merantau Ke Deli), pelaburan (Rich Dad Poor Dad Edisi BM) dan lain-lain!

#3 – LATIHAN MEMORI & SKIL IMAGINASI

Membaca novel atau fiksyen sejarah dapat menguatkan kuasa memori dan imaginasi anda. Buku fiksyen sejarah adalah berdasarkan fakta kajan sejarah, namun telah diolah secara kreatif. Dalam satu buku, anda akan dihidangkan dengan pelbagai fakta sejarah disebalik plot, dialog dan jalan cerita yang ditulis. Imaginasi anda turut menerawang jauh membayangkan kisah sejarah yang diceritakan penulis.

#4 – HADIAH YANG IDEAL

Apa sahaja program (graduasi, pertunangan, perkahwinan, naik pangkat, dapat anugerah) yang perlukan hadiah kepada ahli keluarga atau kawan, buku adalah hadiah yang mudah dan ideal. Penerima beroleh manfaat dan jika kandungan buku tersebut baik dan dapat di amalkan, anda dapat pahala jariah. Pilih buku yang bersesuaian dengan penerima dan difikirkan bermanfaat untuk penerima. Jika anda seorang ibu atau ayah, buku boleh dijadikan hadiah ideal untuk anak anda.

#5 – MURAH & MUDAH

Di Malaysia, buku dikecualikan GST. Selain itu, ada kedai buku online yang besar, dan menawarkan diskaun durian runtuh (klik di sini), selain pesta buku tahunan seperti #Pbakl atau #BigBadWolf. Ada juga yang tawarkan #FreeDelivery untuk pembelian serendah RM80 (klik di sini). Kalau mahukan bacaan secara percuma, lawatilah perpustakaan terdekat di komuniti kawasan anda! (klik di sini)

#6 – AKSESORI TERBAIK

Bagi kebanyakkan pencinta buku, mereka memang tidak akan keluar rumah tanpa membawa buku. Rasa ‘insecure‘ keluar rumah tanpa buku. Sambil tunggu kawan di cafe atau bus stand, buku menjadi peneman setia. Jika anda membaca buku ditempat awam, selain dapat pahala kerana memberi inspirasi kepada orang yang melihat, buku menjadi aksesori yang ideal untuk anda. Sedap mata memandang bila melihat seseorang keluar sambil memegang atau membaca buku.