Ulasan Buku: ‘Merantau Ke Deli’ dari Adia Feliz

Ulasan terbaik novel Merantau Ke Deli, yang telah di hantar oleh Adia Feliz kepada kami, pada bulan Mac 2017:

“Sebenar-benarnya, saya baru dua, tiga hari ini sahaja mengenal Hamka. Ini buku pertama nukilan beliau yang saya habiskan pembacaannya. Memang indah, sarat lagi mengena.

Hidup merantau, bekerja jauh di negeri orang membuatkan buku ini terasa dekat betul di mata saya. Saya terpanggil untuk menulis ulasan ini kerana buku beliau yang satu ini ada sudah di tangan saya, lagi pula ada orang mahu menekun ulasan saya, saya usahakan tulisan ini. Padahal, bertahun-tahun lamanya saya mendengar nama beliau, saya tahu harum namanya dalam dunia penulisan rantau ini tidak saya pedulikan. Belum sampai seru.

Setelah saya baca buku ini, ternyata bahasanya tidak berat seperti yang saya sangkakan sebelum ini. Tema poligami, hidup bermadu dan perihal adat yang dibawa dalam buku ini sungguh berat, sedikit sensitif tentunya bagi kaum wanita tetapi ringan sahaja lenggok cerita dan perbualan antara watak-wataknya. Mudah faham, jelas dan lurus.

Saya bukan orang Minang bukan juga Jawa. Hanya Melayu bercampur darah Siam dan India. Tidak banyak, sedikit saya tahu adat-adat orang Minang dan Jawa sepanjang saya keluar dari tanah Jelapang Padi. Setelah membaca, banyak saya belajar dan tahu bagaimana serta apa yang berlaku terhadap seorang pemuda Minang dalam hidupnya seperti Leman. Bagaimana juga penerusan hidup seorang wanita Jawa si Poenim, yang bijak lagi baik budi. Fahamlah juga saya sedikit bagaimana ditatang anak perempuan Minang, cara mengasihi mereka dan apa letak duduk mereka dalam suku berlembaga itu. Semuanya memberikan ilmu buat saya.

Tentang hal perkahwinan, poligami, bergaul dalam rumah tangga dan suasananya memberikan saya sebuah kefahaman yang baru bahawa manusia itu hatinya bolak -balik. Yang hari ini terasa teguh betul pendiriannya, esok sudah kendur meleleh tiba-tiba. Sikap ini saya lihat pada Leman. Pandangan saya tinggi pula terhadap Poenim. Saya fikir dia cuma perempuan biasa mahu hidup pun biasa-biasa namun salah pula jangkaan saya. Dia malah orangnya sangat berbudi bahasa, tahu diuntung, bijak dan mahu berubah hidup menjadi dekat dengan Tuhan. Sungguh tabah mbak ayu ini. Terkesan betul saya dengan ranjau hidupnya kerana ya, kami insan menumpang di tanah orang. Kalau ada yang ikhlas betul menghulur tangan mahu memberi, mahu pula sehidup semati pasti kami terima dengan penuh pengharapan.

Manusia itu tidak boleh hidup sendiri, takut ditelan kesunyian. Mariatun isteri kedua Leman, orang senegeri lagi seadat, muda orangnya pastilah sedikit pendek akalnya. Sedari kecil lahirnya ditimang-timang tidaklah pandai betul berpanas-panas,bersusah-susah di tempat orang. Suyono, pemuda yang asalnya kuli, anak semang rupanya-rupanya punya jiwa besar. Cukup berbudi dan bijak juga seperti Poenim. Memang bukan anak semang biasa!

Saya belajar lagi bahawa hidup ini pasti ada turun naik rodanya. Yang senang tidak selamanya senang. Yang susah tidak selamanya susah. Yang susah sudah senang, boleh pula susah dan senang kembali. Roda tuan-tuan! Memaafkan dan menyelesaikan hal dendam memang sukar tetapi boleh ia jadi senang dengan jiwa dan pemikiran waras. Walau hidup kacau sehari-hari , berkeringat mencari sesuap nasi, ia menjadi aman dengan hati yang sentiasa tahu bersyukur dan berpada-pada. Kebijaksanaan serta budi seseorang manusia itu memang terlihat dari kata-kata dan cara hidupnya.

Pendek kata, buku ini telah memberi banyak teladan kepada saya. Juga ilmu hidup. Saya sengaja membaca lambat-lambat di akhir bab buku ini kerana berat hati menghabiskannya. Tidak mahu lekas sampai ke penghujung. Sedar saya bahawa penulisnya Buya Hamka sudah tiada di dunia. Tidak akan ada lagi sambungan kisah ini.

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang watak, perwatakan dan plot cerita ini. Biarlah saya sentuh sedikit sahaja buat mengajak orang jadi tertarik dan mahu membaca nukilan ini. Persiapkan diri anda dengan keterbukaan dan penerimaan ketika membacanya. Baru senang dihadam segala isi tersurat dan tersirat. Memegang sebahagian adat itu seni indah, menurutnya penuh membawa padah. Ikatlah adat budaya dengan tali agama. Pasti jelas lagi indah hidup bertujuan.”

Gadis ini Ditembak Hanya Kerana Mahu Ke Sekolah!

Ini adalah buku kedua memoir kisah kanak-kanak yang saya baca, selepas buku “A Child Called It” kisah benar tulisan David Pelzer.

Ia berkisar tentang seorang kanak kanak perempuan yang membesar dikalangan masyarakat yang konservatif, ditembak kerana mempertahankan haknya untuk mendapat pendidikan sebagaimana kanak kanak lelaki. 

Watak berani dan yakin diri oleh kanak kanak yang bernama Malala ini memang berlainan dengan kawan kawan yang lain. Ketika ramai yang akur dengan tekanan Taliban yang menghalang pelajar perempuan ke sekolah, Malala tidak gentar dengan ugutan yang diterima. 

Setelah membaca buku ini, saya yakin sekali bahawa ‘Malala tidak wujud dengan sendirinya atau secara kebetulan’. Asuhan dan acuan ayahnya, Ziauddin Yousufzai yang begitu berlainan sekali dengan lelaki kebiasaan di kawasan itu telah ‘melahirkan malala’.

Ayahnya menganggap potensi perempuan dan lelaki sama. Sebagaimana lelaki perlu kesekolah, begitu juga perempuan. Ayahnya juga menghormati kebebasan anaknya dalam berpendapat, bertanya soalan, mencari ilmu, berani menyatakan kebenaran.

Terdapat 2 perkara yang menarik perhatian saya ketika membaca:

1- Definisi amal soleh.

Amal soleh selalunya hanya di kaitkan dengan aktiviti di masjid, bersedekah harta, memberi nasihat keagamaan. Tanpa sedar, kita telah mengiktiraf fahaman sekular yang mana amal soleh tanya berkait dengan masjid, dan tidak pula berkait dengan amalan kehidupan harian.

Definis amal soleh amat luas, jika kita memperakui kesyumulan islam dan percaya islam itu rahmat kepada semua, pasti kita percaya bahawa amal soleh merangkumi semua jenis kebaikan dalam aktiviti seharian manusia. Kata-kata dalam buku ini ada benarnya: 

“If people volunteered the same way to construct schools or roads or even clear the river of plastic wrappers, by God, Pakistan would become a paradise within a year. The only charity they know is to give to mosque and madrasa”

2- Masyarakat yang melahirkan extremism.

Taliban & kumpulan ekstrimis juga tidak wujud dengan sendirinya. Ianya bukan semata-mata lahir dari interpretasi agama yang sempit. Status pendidikan, sosial & ekonomi juga menyumbang kepada kelahiran ekstrimis. Dalam hal ini, agama tidak lebih sebagai alat semata-mata.

“A khan’s daughter cant marry a barber’s son and a barber’s daughter cant marry a khan’s son. We Pashtun love shoes but dont love the cobbler; we love our scarves and blankets but do not respect the weaver. Manual workers made a great contribution to our society but receive no recognition, and this is the reason so many of them joined the Taliban – to finally achieve status and power”

Penulis begitu ‘descriptive’ sekali apabila menceritakan keindahan Swat, (yang mendapat jolokan ‘Switzerland of the East’ menyebabkan saya yang membaca kerap berhenti dan membayangkan kehidupan penduduk Swat yang kaya dengan keindahan alam semulajadi dan juga tinggalan sejarah.

Terdapat banyak runtuhan patung buddha di sekitar kawasan ini, kerana ia merupakan kawasan yang pernah di diami oleh penganut Buddha pada abad ke 18. Mereka menginap di kawasan ini kerana tertarik dengan keindahan dan ketenangan Swat yang ideal untuk aktiviti meditasi.

Bagi saya, hero dalam kisah ini ialah bapanya. Besar pengaruh bapanya dalam diri Malala. Banyak pengajaran dapat dipelajari dari Ziauddin Yousufzai.

Bapanya berkata dalam satu majlis dengan rendah diri:

“In my part of the world, most people are known by their sons. I am one of the few lucky fathers known by his daughter”

Ia bacaan yang ideal untuk lelaki, para bapa muda, sebagai pengajaran bagaimana melahirkan ‘Malala’, juga mengenali sifat-sifat & pemikiran ala-Taliban yang perlu dijauhi dalam mendidik anak-anak.

Bacakan Buku Untuk Anak, Kerana 7 Manfaat Ini.

Jangan sekali-kali anda fikir, anak terlalu muda atau mentah untuk di bacakan buku. Meskipun mereka masih belum lancar berkata-kata, atau belum pandai mengeja.

Ibubapa amat digalakkan membacakan cerita kepada anak-anak, seawal umur 1 tahun. Pemilihan buku mesti sesuai dengan peringkat umur anak, dengan gambar atau lukisan pelbagai warna dan saiz yang besar.

Koleksi buku di sini, amat sesuai sekali dengan anak-berusia 1 – 3 tahun. Dengan tema haiwan, lukisan yang menarik, warna yang pelbagai dan kontra memang mudah menarik minat anak kecil. Tanpa berfikir panjang, saya terus membelikan seluruh buku dalam set ini untuk dibacakan kepada si cilik di rumah 🙂

Apa manfaatnya membacakan buku buat anak kita?

#1 – Hubungan mesra yang terjalin secara spontan antara anak-ibubapa ketika aktiviti membaca meninggalkan kenangan manis dalam 'zaman kanak-kanak mereka. Pastikan aktiviti membaca menyeronokkan, selesa dan bebas tekanan.

#2 – Buku cerita membantu mereka membesar dengan dunia imaginasi yang tidak dijangkau dengan peserkitaran sedia ada. 'Melawat' ke dunia marin/lautan, hutan, bandar besar, musim salji, contohnya.

#3 – Jadikan rumah kita permulaan habit membaca & belajar yang baik, jika mahukan sistem pendidikan yang lebih baik, mulakan dengan keluarga kita.

#4 – Kajian sains membuktikan aktiviti membacakan buku kepada anak-anak akan memberikan kesan kepada otak mereka. Ujian MRI telah dijalankan sewaktu kanak-kanak itu mendengar bacaan ibu bapa mereka dan menunjukkan aktiviti otak mereka menjadi lebih aktif, dikedua-dua bahagian kiri (kritikal, analitikal) dan kanan (kreativiti, emosi).

 

#5 – Membaca buku adalah plan pendidikan paling murah dan mampu milik tetapi efektif. Terdapat pelbagai skil yang bermanfaat untuk anak anda, melalui aktiviti membaca buku; seperti mengenal bunyi, mengenal bentuk abjad, mengenal pelbagai warna, bunyi haiwan, persekitaran, struktur bercerita, dan lain-lain.

#6 – Penerimaan anak-anak ke atas nasihat, teguran dari ibubapa adalah lebih baik ketika membaça buku atau bermain. Ibubapa boleh menyelitkan nasihat, pengajaran kepada anak-anak yang disesuaikan dengan jalan cerita.

#7 – Hubungan adik beradik juga bertambah mesra apabila ibubapa menjadikan aktiviti membaca buku secara berkumpulan dengan adik adik.

 

Ulama Tafsir Ini Melawan ‘Taboo’, Bila Menulis Kisah Cinta…

Ulasan yang menarik, ditulis oleh Tuan Shaharom TM Sulaiman:

“Sekiranya Hamka masih hidup. Beliaulah penulis paling kaya di Asia Tenggara”, begitulah catatan Buku Rekod Malaysia (1997). Apa tidaknya hampir sebahagian besar karyanya telah diulang cetak melebihi sepuluh kali oleh pelbagai penerbit di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei. Sehingga ke hari ini, karya-karyanya berupa novel, buku agama, falsafah masih terus dicetak dan diterbitkan kembali dalam wajah baru.

Karya-karya Hamka cukup segar, berinspirasi dan menyentuh kalbu. Kita akan merasa kelainannya dan mendapati ‘sesuatu yang baru’ walau telah beberapa kali membacanya. Bahasanya cukup memikat, halus, bersopan tetapi penuh dengan sindiran dan kritikan sosial. Bacalah Falsafah Hidup, Dibawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, Tasawuf Moden misalnya, maka kita akan mengerti akan pengamatan Hamka yang tajam dan kritis terhadap adat, budaya, kehidupan beragama, masalah sosial, politik. Perjalanan intelektualnya membawa ia ke Timur Tengah, belahan Asia, dan Amerika. Kesemuanya memperkayakan nuansa pemikirannya dan tertuang dalam pelbagai genre penulisanya yang melebihi 110 buah karya.

Antara sekian banyak karya Hamka yang diterbitkan kembali adalah roman cinta antara dua darjat iaitu Merantau ke Deli. Novel ini asalnya adalah tulisan-tulisan bersiri yang dimuatkan dalam majalah Pedoman Masyarakat antara tahun 1939 hingga 1940, kemudian diterbitkan dalam bentuk buku pada 1941 oleh penerbit Cerdas di Medan. Novel ini versi Malaysia (2016) diterbitkan oleh PTS Publishing dengan mengekalkan keaslian bahasa asal yang digunakan Hamka tanpa sebarang perubahan untuk menjadi rujukan pada masa akan datang. Pihak penerbit turut menyediakan glosari di bahagian belakang buku pada perkataan yang mungkin tidak difahami oleh pembaca di Malaysia.

Novel ini berkisar tiga tokoh utama iaitu Leman, Poniem dan Mariatun yang melalui pahit manis kehidupan bermadu yang terikat dengan adat. Novel ini menceritakan bagaimana pengaruh adat, terutama pada adat Minang Kabau yang kuat cuba untuk menyatu dengan adat lain iaitu adat Jawa melalui perkahwinan yang memang sukar pada zaman itu. Perkahwinan yang dialami oleh tokoh-tokoh dalam cerita ini banyak mengalami cubaan sehingga pada akhir cerita kembali pada adat masing-masing. Inilah yang dialami oleh Leman yang pada mulanya bernikah dengan Poniem kemudian pengaruh adat dan darjat berkahwin pula dengan Mariatun. Dan disinilah bermula konflik rumahtangga hingga berlaku perceraian antara Leman dan Poniem.

Bagi Hamka novel atau roman ini amat memuaskan hatinya kerana beliau menyaksikan sendiri situasi itu. Menurut Hamka dalam kata pengantar novel versi asalnya, “Pada perasaan saya, diantara buku-buku roman yang saya tulis, Merantau ke Deli inilah yang lebih memuaskan hati. Sebab bahannya semata-mata saya dapati dalam masyarakat sendiri yang saya lihat saya saksikan. Sebalik saya pulang dari Mekah di tahun 1928, berbulan-bulan saya menjadi guru agama di satu pekan kecil, tempat hidup pedagang-pedagang kecil, bernama pekan Bajalingai dekat Tebing Tinggi, Deli. Saya saksikan dan saya pergauli kehidupan pedagang kecil dan saya lihat kehidupan kuli-kuli kontrak yang diikat oleh “Poenale Sanctie” yang terkenal dahulu itu.Maka daripada kehidupan yang demikianlah saya mendapatkan pokok bahan dari ceritera Merantau ke Deli”.

Memang tanah Deli khusunya Sumatera Timur amat terbuka kepada penerokaan dari luar, terbuka pada pengusaha-penguasaha besar bangsa asing khususnya Belanda yang menanam kelapa sawit, tembakau, nenas. Maka berduyuduyunlah orang dari pelosok Indonesia datang ke sana untuk mencuba nasib. Maka terbentuklah komuniti ‘kuli-kuli kontrak’. Setelah menempuh berbagai kesulitan, timbullah suatu asimilasi bangsa. Akhirnya lahir satu keturunan yakni generasi baru yang dinamakan “Anak Deli”.

Novel ini merupakan antara novel-novel terawal Hamka sekaligus membuktikan Hamka seorang  sasterawan yang memahami hati nurani bangsanya. Dalam diri Hamka bukan saja tergambar seorang ulamak tetapi seorang sosok multi-dimensi;- sasterawan, budayawan, politikus, reformis sekaligus” pencerita” yang bijaksana. Bayangkan menulis novel cinta pada ketika itu di Indonesia adalah “tabu” bagi seorang ulamak. Hamka pernah dikritik hebat ketika menulis novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wicjk.

Setelah beberapa tahun novel itu diterbitkan, Hamka berkata…”…dengan sendirinya heninglah serangan dan tentangan itu, dan kian lama kian mengertilah orang betapa perlunya kesenian dan keindahan dalam hidup manusia”.

Dan Hamka melakukannya dengan penuh adab dan sopan sebagai satu kritikan sosial pada masyarakat.

Bacaan Terbaik Untuk Rangsang Kreativiti Remaja

Kajian baru menunjukkan, generasi millennial sukar mengekspresi idea mereka secara kreatif. Terlalu banyak kemudahan, infomasi dihadapan mereka tersedia, tanpa perlu bersusah payah mendapatkan, mesistesis maklumat. Kesemuanya boleh didapati dari apps, hanya dengan beberapa klik! "Kemudahan" seperti ini membantutkan skil berfikir dan menulis secara kreatif.

 

Kajian yang diterbitkan pada awal tahun ini dalam Kreativiti Penyelidikan Journal, dari Universiti Harvard & Universiti Washington mengkaji, "Bagaimanakah gaya, kandungan dan bentuk remaja seni membuat dan penulisan kreatif berubah sejak 20 tahun lepas? "

 

Penulisan kreatif adalah sebahagian daripada menjadi seorang kanak-kanak. Penulisan dan membaca cerita seperti memulakan hidup di Mars, peperangan antara penduduk kerajaan di pelbagai planet;  membantu menguatkan daya imaginasi. Kajian terbaru menyatakkan kanak-kanak generasi Y nampaknya lebih suka realisme naratif apabila mereka menulis cerita.

 

Kreativiti generasi X bercambah melalui komik. Sedari kecil, kebanyakkan gen-X bermula dengan komik Doraemon, Budak Getah, X-Hunter, X-Men; hanya menyebut sebahagiannya. Generasi Y, alpha dan seterusnya memerlukan method yang lebih sophisticated untuk mencambahkan daya kreaitviti mereka. Novel sains fiksyen adalah salah satu jawapannya. Penguasaan skil visual yang telah bertambah baik dikalangan generasi Y kini menyebabkan minat mereka terhadap penulisan kreatif, contohnya, menurun. Mereka lebih cenderung memikirkan aktiviti apakah yang mahu dilakukan ketika bercuti, daripada berimaginasi bagaimana kehidupan di planet lain (contohnya 7 planet yang baru dijumpai NASA).

 

Bacaan sains fiksyen adalah jawapan kepada sumber inspirasi untuk pemikiran kreatif, nonlinear dan diluar kotak. Kami mencadangkan pilihan buku sains fiksyen mencetuskan imaginasi, fantasi, keajaiban  dan dunia pelbagai kemungkinan.

#1 – Cerita tentang DNA, Projek Sains ke atas Hidupan, Cyborg, Artificial Intelligence, Robot!

 

 

 

 

 

 

 

 

IMAGIKATA, EKSISTENSI dan TRANSGENESIS – Kisah masa hadapan yang jauh membawa pembaca ke dimensi dunia yang berlainan. Kisah sains fiksyen yang sememangnya mind-blowing!

#2 – Penaklukan, pertarungan antara kerajaan dan pahlawan , kuasa magis, inter-galactic persis Star Wars (?)

GALAKSI MUKHSININ, KRONIKA NASHAN dan OPERA ANGKASA - Antalogi cerpen extraordinary, kisah sequel (kronika) dan opera angkasa ini, berkenaan dengan sebuah kerajaan bernama Nashan. Padat dengan kisah-kisah keperwiraan, setia kawan, ihsan, keberanian, pertarungan, siasah,  ekonomi, unsur magis, kebudayaan, lagenda, teknologi, sumber alam, tenaga hinggalah makhluk 'unusual' seperti raksasa. Sequel ini adalah gabungan bergaya antara sastera dan sains fiksyen, ia dalam kelas yang tersendiri. Sequel ini mampu membawa pembaca hanyut jauh ke dalam dunia imaginasi, dan pastinya terpana dengan gaya bahasa yang indah!

#3 – Misteri, Pembunuhan, Dunia Paranormal

 

 

 

 

 

 

 

 

SHERLOCK HOLMSES, ANARKIS BANGKIT dan JIN-TINA – Membawa anda masuk kedunia misteri, jenayah, pembunuhan; yang memang menarik apabila menggunakan ilmu sains untuk pembuktian.

Kombinasi geopolitikal, ketenteraan, dan paranormal di garap dengan baik dalam setiap buku ini.

Sekarang, tiba masanya untuk biarkan remaja dan pelajar 'meliar' ke dunia imaginasi, kreativiti dan magis tanpa sempadan!