Pesan Za’aba Kepada Kaum Ibu….

Bahagia rasanya apabila semakin ramai pembaca muda yang melazimi karya Za’ba, terbitan Dewan Bahasa & Pustaka ini. Mungkin kerana inti karya ini di sebut-sebut oleh beberapa figur berpengaruh; influencer dalam dunia buku seperti Tuan ZF Zamir dalam post beliau di sini, selain penerbit buku yang progressif seperti Jejak Tarbiah yang menerbitkan buku Revolusi Budi yang berinspirasikan pemikiran Za’ba.

Za’ba agak popular di kalangan massa, dengan karya beliau ‘Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri’. Namun, jika di ‘bedah’ karya beliau yang lainnya, seperti ‘Mencapai Keluhuran Budi’, pembaca akan terpukau dengan begitu jelas dan terangnya huraian idea yang cuba di sampaikan Za’ba, berkenaan pengamalan agama sebenar yang harus di hayati oleh orang melayu di zaman itu. Di sulami kritikan sosial dan huraian tentang hakikat serta konsep beragama, Za’ba juga memberi anjuran bagaimana seharusnya muslim perlu menggunakan akal kurniaan Allah dalam beragama.

Salah satunya, Za’ba berbicara tentang tanggungjawab ibu bapa.  Za’ba menekankan tentang betapa pentingnya bagi ibu bapa jalankan tanggungjawab mereka dahulu terhadap anak sebelum mereka menuntut hak dari anak untuk menghormati dan menjaga mereka pula. Dalam mendidik anak-anak, saya kira Za’ba menekankan ‘substance is more important than form’. Aspek budi mesti ditekankan dalam mendidik anak-anak, bukan sekadar pengalaman agama secara luaran atau fizikal sahaja. Agak terpukau saya apabila membaca pesan Za’ba kepada ibu-ibu, dengan memberi gambaran aspirasinya terhadap wanita (ibu) yang mencorak pendidikan anak dan keluarga. Bagaimanakah sebenarnya yang dikatakan wanita atau ibu yang hebat dan terpelajar itu?

Ibu yang berpelajaran istimewa pada zaman kemajuan sekarang ini,

Ibu yang celik matanya mengetahui hal-hal dunia yang lebih luas dari kelongkong dapurnya dan ceruk-ceruk keliling rumahnya dan daerah kampungnya,

Ibu yang mengerti perkara-perkara lebih tinggi daripada berbualkan rantai emas dan kerabu intan dan sebagainya,

Ibu yang lebih bertanggungjawab daripada semata-mata hendak bersolek dan meniru-niru pembawaan Barat![/su_quote]

Sejak dari tahun 1920-an lagi Za’ba  menasihatkan golongan ibu bukan sekadar berbicara tentang kerja dapur, rantai emas dan bersolek semata-mata. Tetapi, peranan wanita dan ini adalah lebih dari itu, seiring dengan kaum bapa dalam pendidikan anak-anak dan pentadbiran rumahtangga, melayu suluhan agama dan ilmu.  Za’ba menyeru wanita menjadi woman of substance dan tidak hanya mementingkan perkara-perkara luaran.

Dalam buku ini, Za’ba menghujahkan bahawa kebahagiaan, ketinggian dan kecemerlangan manusia perlu digarap melaui agama. Agama dapat membentuk, mendidik dan membesarkan manusia, sesuai dengan keadaan pada hari ini dan akan datang. Namun pemahaman agama yang verbena, menatijahkan pula medan berbeza. 10 rencana Za’ba yang dikumpulkan dalam buku ini, mengupas konsep-konsep asas dalam memahami, menghayati agama dan aplikasinya dalam hidup insan; termasuk: Agama dan tujuannya, Perlunya didatangkan agama, Agama yang sebenar, Mustahaknya pengetahuan agama, Ibu bapa – guru yang pertama, Cara-cara mendidik anak-anak, Didikan di dalam urusan rumahtangga, Kewajipan ibu bapa kepada anak-anak, Kewajipan berjimat cermat dan Faedah berjimat cermat.

Bagaimana Masyarakat Yahudi Pupuk Minat Membaca

Pada 23 April, Saudara Ayman Rashdan Wong berkongsi tulisan menarik sebagai tribute menyambut Hari Buku Sedunia. Apa yang menarik, Saudara Ayman menyelitkan tauladan buat kita, tentang bagaimana kaum yahudi memupuk minat membaca dikalangan generasi muda mereka.

Saudara Ayman menulis….

“Hari ini adalah Hari Buku Sedunia (World Book Day) yang ditetapkan oleh UNESCO (United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization) sejak tahun 1995. 23 April dipilih kerana dua penulis teragung dalam sejarah Eropah iaitu Cervantes (penulis berbangsa Sepanyol yang menghasilkan novel ‘Don Quixote’) dan Shakespeare (penulis berbangsa Inggeris yang menghasilkan ‘Hamlet’, ‘King Lear’ dan ‘Romeo and Juliet’) meninggal dunia pada 23 April 1616.

Walaupun penggunaan buku elektronik (e-book) seperti Kindle semakin menjadi pilihan, namun buku berbentuk fizikal masih mempunyai daya tarikan yang tersendiri berbanding e-book.

Pertama, buku berbentuk fizikal mempunyai bau yang harum. Antara banyak-banyak buku, buku terbitan syarikat Penguin Books paling wangi, entah jenis kertas apa yang diguna sehingga bau bukunya menyerupai mahogani. Bau buku lama juga berbeza dengan buku baru. Buku baru selalunya berbau seperti teh hitam (disebabkan kesan dakwat), buku lama kebanyakan berbau seperti vanila. Keharuman buku boleh merangsang kecerdasan otak dan menghilangkan stres, lebih kurang seperti aroma-terapi lah.

Kedua, kepuasan membaca buku berbentuk fizikal tidak sama dengan membaca e-book. Kalau buku jenis berfakta dan mudah dibaca, bolehlah membaca melalui e-book. Tetapi bagi buku-buku bergenre falsafah atau novel, buku berbentuk fizikal lebih membantu penghayatan yang mendalam.

Bangsa yang hebat adalah bangsa pembaca. Selain bangsa Jepun yang saya selalu sebut, bangsa Yahudi juga terkenal sebagai bangsa pembaca. Kerana membacalah orang Yahudi dapat ‘menguasai’ dunia melalui penguasaan ilmu pelbagai bidang. Orang Yahudi mempunyai ‘rahsia’ memupuk minat membaca sejak zaman kanak-kanak lagi: sambil mengajar kanak-kanak membaca (terutamanya kitab Torah), guru atau ibu bapa Yahudi akan bagi kanak-kanak makan manisan (misalnya madu), dengan itu dalam minda orang Yahudi akan terbentuknya sub-kesedaran (‘sub-consciousness’) bahawa ‘buku itu manis’, menjadikan mereka gemar membaca (rujuk buku Teaching Jewish Life Cycle: Traditions and Activities, halaman 26). Harap tiada yang mengatakan sambutan Hari Buku Sedunia itu agenda Yahudi pula.

Mari semarakkan Hari Buku Sedunia. Kalau dah selalu menayang gambar makanan sedap dan pakaian lawa di media sosial, apa kata hari ini tukar jadi menayang buku?


Nota: Dalam gambar: buku ‘Being and Time’ oleh Martin Heidegger adalah buku yang paling mencabar bagi saya. Sudah 9 tahun saya masih belum berjaya menghabiskan ia. Boleh cuba kalau berani.”

6 Sebab Mengapa Anda Suka Membaca (Buku)

#1 – TIKET MENGEMBARA PALING MURAH

Sambil duduk be rehat di sofa rumah atau kampung anda, tidak kira walaupun ia teletak di Kodiang misalnya, anda tetap boleh mengembara ke benua lain, negara dan kawasan asing, bertemu dengan masyarakat yang tidak pernah anda terfikir mereka wujud. Semua ini tidak perlukan harga tiket penerbangan yang mahal. Lebih dari itu, anda boleh masuk ke ruangan masa yang berbeza dari sekarang. Anda boleh pilih, mahu masuk masa lampau atau masa hadapan. Hanya dengan buku, anda boleh merantau ke tempat dan masa tanpa sempadan!

Katakan anda sedang membaca buku tulisan Malala Yousofzai dan Christina Lamb dalam edisi BM, yang bertajuk ‘Saya Malala’. Tanpa sebarang risiko keselamatan, anda telah pun merantau ke Swat, Pakistan. Anda dapat membayangkan keindahan Swat yang asli, dan diperkaya pula dengan tinggalan sejarah penganut Budhha kurun ke 2 BC. Swat juga dikenali sebagai ‘Switzerland of The East’.  Anda dapat ‘bertemu’ dengan penduduk Swat dan memahami serba sedikit budaya, cara hidup dan cara mereka bermasyarakat. Anda dapat memahami kemelut sosio ekonomi dan masalah pendidikan mereka. Menarik, bukan?

#2 – MODAL SOSIAL TERBAIK

Kebanyakkan pencinta buku yang kami temui adalah mereka yang bersifat intovert, yang selalu sinonim dengan sikap pendiam, tidak suka bercakap tanpa keperluan dan suka ruang dan masa untuk diri sendiri. Apa yang berlaku jika anda, seorang introvert yang sukakan buku; terperangkap di salah satu aktiviti sosial seperti kenduri, atau program yang mana anda dikelilingi oleh orang yang tidak di kenali, berjam-jam?

Membaca buku menjadikan anda sentiasa ‘selamat’ dengan modal sosial untuk memulakan perbualan. Bukan sekadar berbual bertanya nama, asal dan tempat belajar/kerja; kemudian terus diam dan keadaan jadi sunyi sepi.

Anda boleh sambung perbualan dengan pelbagai tajuk dari bahan bacaan anda selama ini; dari hal ewal dalam negara seperti pendidikan (Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang), kemanusiaan (Lelaki Terakhir Menangis Di Bumi), ekstrimism (Saya Malala), motivasi (Who Moved My Cheese Edisi BM), kisah imigran (The Namesake), cerita peperangan (Berlari Dari Jogja Untuk Menemukan Si Dia Di Christiana), sastera (Merantau Ke Deli), pelaburan (Rich Dad Poor Dad Edisi BM) dan lain-lain!

#3 – LATIHAN MEMORI & SKIL IMAGINASI

Membaca novel atau fiksyen sejarah dapat menguatkan kuasa memori dan imaginasi anda. Buku fiksyen sejarah adalah berdasarkan fakta kajan sejarah, namun telah diolah secara kreatif. Dalam satu buku, anda akan dihidangkan dengan pelbagai fakta sejarah disebalik plot, dialog dan jalan cerita yang ditulis. Imaginasi anda turut menerawang jauh membayangkan kisah sejarah yang diceritakan penulis.

#4 – HADIAH YANG IDEAL

Apa sahaja program (graduasi, pertunangan, perkahwinan, naik pangkat, dapat anugerah) yang perlukan hadiah kepada ahli keluarga atau kawan, buku adalah hadiah yang mudah dan ideal. Penerima beroleh manfaat dan jika kandungan buku tersebut baik dan dapat di amalkan, anda dapat pahala jariah. Pilih buku yang bersesuaian dengan penerima dan difikirkan bermanfaat untuk penerima. Jika anda seorang ibu atau ayah, buku boleh dijadikan hadiah ideal untuk anak anda.

#5 – MURAH & MUDAH

Di Malaysia, buku dikecualikan GST. Selain itu, ada kedai buku online yang besar, dan menawarkan diskaun durian runtuh (klik di sini), selain pesta buku tahunan seperti #Pbakl atau #BigBadWolf. Ada juga yang tawarkan #FreeDelivery untuk pembelian serendah RM80 (klik di sini). Kalau mahukan bacaan secara percuma, lawatilah perpustakaan terdekat di komuniti kawasan anda! (klik di sini)

#6 – AKSESORI TERBAIK

Bagi kebanyakkan pencinta buku, mereka memang tidak akan keluar rumah tanpa membawa buku. Rasa ‘insecure‘ keluar rumah tanpa buku. Sambil tunggu kawan di cafe atau bus stand, buku menjadi peneman setia. Jika anda membaca buku ditempat awam, selain dapat pahala kerana memberi inspirasi kepada orang yang melihat, buku menjadi aksesori yang ideal untuk anda. Sedap mata memandang bila melihat seseorang keluar sambil memegang atau membaca buku.

Ulasan Buku: ‘Merantau Ke Deli’ dari Adia Feliz

Ulasan terbaik novel Merantau Ke Deli, yang telah di hantar oleh Adia Feliz kepada kami, pada bulan Mac 2017:

“Sebenar-benarnya, saya baru dua, tiga hari ini sahaja mengenal Hamka. Ini buku pertama nukilan beliau yang saya habiskan pembacaannya. Memang indah, sarat lagi mengena.

Hidup merantau, bekerja jauh di negeri orang membuatkan buku ini terasa dekat betul di mata saya. Saya terpanggil untuk menulis ulasan ini kerana buku beliau yang satu ini ada sudah di tangan saya, lagi pula ada orang mahu menekun ulasan saya, saya usahakan tulisan ini. Padahal, bertahun-tahun lamanya saya mendengar nama beliau, saya tahu harum namanya dalam dunia penulisan rantau ini tidak saya pedulikan. Belum sampai seru.

Setelah saya baca buku ini, ternyata bahasanya tidak berat seperti yang saya sangkakan sebelum ini. Tema poligami, hidup bermadu dan perihal adat yang dibawa dalam buku ini sungguh berat, sedikit sensitif tentunya bagi kaum wanita tetapi ringan sahaja lenggok cerita dan perbualan antara watak-wataknya. Mudah faham, jelas dan lurus.

Saya bukan orang Minang bukan juga Jawa. Hanya Melayu bercampur darah Siam dan India. Tidak banyak, sedikit saya tahu adat-adat orang Minang dan Jawa sepanjang saya keluar dari tanah Jelapang Padi. Setelah membaca, banyak saya belajar dan tahu bagaimana serta apa yang berlaku terhadap seorang pemuda Minang dalam hidupnya seperti Leman. Bagaimana juga penerusan hidup seorang wanita Jawa si Poenim, yang bijak lagi baik budi. Fahamlah juga saya sedikit bagaimana ditatang anak perempuan Minang, cara mengasihi mereka dan apa letak duduk mereka dalam suku berlembaga itu. Semuanya memberikan ilmu buat saya.

Tentang hal perkahwinan, poligami, bergaul dalam rumah tangga dan suasananya memberikan saya sebuah kefahaman yang baru bahawa manusia itu hatinya bolak -balik. Yang hari ini terasa teguh betul pendiriannya, esok sudah kendur meleleh tiba-tiba. Sikap ini saya lihat pada Leman. Pandangan saya tinggi pula terhadap Poenim. Saya fikir dia cuma perempuan biasa mahu hidup pun biasa-biasa namun salah pula jangkaan saya. Dia malah orangnya sangat berbudi bahasa, tahu diuntung, bijak dan mahu berubah hidup menjadi dekat dengan Tuhan. Sungguh tabah mbak ayu ini. Terkesan betul saya dengan ranjau hidupnya kerana ya, kami insan menumpang di tanah orang. Kalau ada yang ikhlas betul menghulur tangan mahu memberi, mahu pula sehidup semati pasti kami terima dengan penuh pengharapan.

Manusia itu tidak boleh hidup sendiri, takut ditelan kesunyian. Mariatun isteri kedua Leman, orang senegeri lagi seadat, muda orangnya pastilah sedikit pendek akalnya. Sedari kecil lahirnya ditimang-timang tidaklah pandai betul berpanas-panas,bersusah-susah di tempat orang. Suyono, pemuda yang asalnya kuli, anak semang rupanya-rupanya punya jiwa besar. Cukup berbudi dan bijak juga seperti Poenim. Memang bukan anak semang biasa!

Saya belajar lagi bahawa hidup ini pasti ada turun naik rodanya. Yang senang tidak selamanya senang. Yang susah tidak selamanya susah. Yang susah sudah senang, boleh pula susah dan senang kembali. Roda tuan-tuan! Memaafkan dan menyelesaikan hal dendam memang sukar tetapi boleh ia jadi senang dengan jiwa dan pemikiran waras. Walau hidup kacau sehari-hari , berkeringat mencari sesuap nasi, ia menjadi aman dengan hati yang sentiasa tahu bersyukur dan berpada-pada. Kebijaksanaan serta budi seseorang manusia itu memang terlihat dari kata-kata dan cara hidupnya.

Pendek kata, buku ini telah memberi banyak teladan kepada saya. Juga ilmu hidup. Saya sengaja membaca lambat-lambat di akhir bab buku ini kerana berat hati menghabiskannya. Tidak mahu lekas sampai ke penghujung. Sedar saya bahawa penulisnya Buya Hamka sudah tiada di dunia. Tidak akan ada lagi sambungan kisah ini.

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang watak, perwatakan dan plot cerita ini. Biarlah saya sentuh sedikit sahaja buat mengajak orang jadi tertarik dan mahu membaca nukilan ini. Persiapkan diri anda dengan keterbukaan dan penerimaan ketika membacanya. Baru senang dihadam segala isi tersurat dan tersirat. Memegang sebahagian adat itu seni indah, menurutnya penuh membawa padah. Ikatlah adat budaya dengan tali agama. Pasti jelas lagi indah hidup bertujuan.”

10 artikel terbaik di warungbooku yang dikongsi lebih 57.6k kali!

Genap 1 tahun 4 bulan warungbooku telah menghasilkan 59 artikel khusus untuk pembaca, pencinta dan pengagung buku. Baru sahaja setahun jagung, masih banyak lagi yang kami perlu perbaiki untuk menghasilkan konten berkualiti untuk anda sekalian. Kami amat gembira dan berbesar hati jika konten kami memberi manfaat kepada anda semua.

Kami suka tulis sesuatu yang dapat terus di amalkan oleh pembaca semua. Apabila mereka percaya akan manfaatnya, secara automatik mereka akan berkongsi, menyampaikan kepada rakan-rakan mereka, atau menghubungi kami untuk menyatakan penghargaan mereka. Apabila melawati semula artikel-artikel ini, kami  amat terharu dengan sambutan yang diberikan, melihat kepada statistik dan komen pembaca sekalian membuatkan kami tersenyum 🙂

Kami senaraikan 10 artikel terbaik setakat hari ini:

1. 15 Buku Untuk Cabar Pemikiran Anda – Genre pemikiran separa kritis rupanya mempunyai ramai peminat. Terbukti dengan pautan ini, yang mana kami senaraikan 15 tajuk yang mampu mencabar skil pemikiran kritis pembaca. Salah satu buku-buku ini, sekiranya di masukkan dalam senarai bacaan anda, pasti dapat menambah nilai pada diri anda, dengan fakta baru, argumen dan artikulasi yang dibentangkan penulis. Ada pelbagai genre seperti sosio-ekonomi, politik, pendidikan, kemasyarakatan, sejarah dan lain-lain

2. 8 Langkah Mudah Habiskan Baca Buku Yang Di Beli – Bagaimana menyusun strategi yang sistematik dalam membaca buku yang anda rancang dalam masa setahun? Kami kongsikan di sini.

3. 6 Cara Bagaimana Membaca Lebih Banyak Buku – Banyak buku yang telah kita beli, namun, kita alami kesukaran, malah buntu untuk habiskan bacaan buku-buku ini. 6 cara ampuh ini, memang teruji membantu kita membaca lebih banyak buku dari biasa!

4. 7 Langkah Bina ‘Mini Library’ di Rumah – Membina minilibrary sebenarnya satu proses yang menyeronokkan apabila ia dilakukan dengan terancang. Saiz minilibrary tidaklah penting. Kewujudannya sahaja mampu memberi aura tersendiri di rumah anda. Selamat mencuba.

5. Lakukan 25 Perkara Ini Untuk Tambah Keseronokkan Membaca – Aktiviti membaca buku boleh dipelbagaikan dengan lebih banyak aktiviti yang menyeronokkan. Membaca buku bukanlah bermakna kita tidak peduli dan mengabaikan ‘keseronokkan’.

6. 15 Masalah Hanya Pembaca Buku Tegar Yang Faham‘The Struggle Is Real’. Hanya pencinta buku sahaja yang faham. Artikel ini banyak dikongsi kerana book lovers sekalian memang mengalami 15 masalah yang kami senaraikan dan teruja barkongsi maklumat ini dengan ahli keluarga, kawan, pasangan mereka yang bukan kaki buku, agar mereka lebih difahami….hehe.

7. 15 Buku Mampu Buat Anda Meremang – Tak sangka, ramai rupanya peminat yang mencari rekomendasi buku novel seram. Dari kisah pembunuhan kejam hinggalah misteri mistik, semuanya ada.

8. 5 Tips Membaca Buku Dengan Lebih Cepat “Speed Reading”  – Skil membaca dengan cepat bukanlah satu anugerah secara semula jadi. Skil ini dapat kita asah dengan teknik tertentu dan juga latihan. Ya, latihan! Practice makes perfect. Begitulah juga dengan skil ini.

9. Tips Membaca Buku Bahasa Inggeris Untuk Beginner – Ramai yang menghubungi kami secara berasingan dan menyatakan penghargaan mereka kerana kongsikan tips ini. Kami gembira dan berharap pembaca semua teruskan ‘berlatih’ dengan tips yang kami berikan. Bak kata Tun M, “Membaca juga perlukan latihan. Dengan kerap membaca kita akn menjadi lebih cekap!”

10. 15 Idea Menarik Untuk Di Cuba ‘Book Lovers’ – Pencinta buku bukanlah makhluk pasif yang hanya hidup dalam dunia sendiri dan tidak pedulikan sumbangan kepada masyarakat luar. Banyak idea baru yang boleh dilakukan oleh pembaca buku, agar cinta kita terhadap buku lebih mekar dan kembang!