16 Buku Terbaik Sepanjang 2016

Kami senaraikan 16 buku terbaik sepanjang 2016 di warungbooku, bagi kedua-dua kategori fiksyen dan bukan fiksyen. Kriteria yang dipilih berdasarkan pendapat pembaca, kandungan dan mesej yang di ketengahkan oleh penulis dan kadar permintaan pembaca di warungbooku.

1. Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick – Hamka

Karya roman atau cinta segar sepanjang zaman ini, di cetak, di terbit dan di terjemah berulang kali sehingga 70 tahun lamanya.

Kisah yang sarat dengan kritis sosial yang begitu menjentik hati dan fikiran pembaca. Melalui novel ini, Hamka juga menulis untuk mengajar bagaimana kesetiaan mempunyai dimensi berbeza dan adilkah kita menghukum kesetiaan orang lain hanya dari kaca mata kita?

Watak wanita dalam khayalan Hamka dalam kisah cinta Hayati dan Zainuddin ini begitu indah dan mengasyikkan dinikmati dengan secawan kopi panas. Ulasan mengapa watak Hayati istimewa boleh di baca di sini.

Kredit gambar: @yunimy

2. Mendorong Tingkah Laku Positif Anak-Anak – ABS Media

Ada tak ketikanya kita selalu rasa bersalah lepas marah atau membebel pada anak-anak? Kalau perasan, semakin dibebel semakin anak memberontak, hilang hormat dan tidak mendengar kata.

Sudahnya kita yang penat, kecewa . Paling dirisaukan, emosi anak pula dah terkesan dengan kata-kata dan emosi negatif kita. Kesan jangka panjangnya bahaya.

Buku iterbitan ABS Media ini membantu ibubapa belajar berkomunikasi dengan cara yang betul dan berkesan untuk membina tingkahlaku positif anak-anak.

Disertakan dengan PERCUMA 100 SKRIP Mendorong Anak Positif yang terus boleh dipraktikkan, buku ini memang menjadi rujukan kegemaran ibubapa! Syabas ibubapa semua!

Kredit gambar: @armiati.mohdismail

3. Yahudi, Kristian, Hindu & Buddha Berasal Daripada Islam? – Ahmad Iqram Mohamad Noor

 

Buku ini mempunyai kesinambungan dari buku Kau Sembah Apa, terbitan Puteh Press. Buku ini mempuyai kandungan yang berbeza jika dibandingkan dengan buku Kau Sembah Apa.

Yahudi, Kristian, Hindu dan Buddha berasal daripada Islam? lebih memaparkan fakta-fakta untuk mengemukakan pendapat hubung kait setiap nabi yang diutuskan oleh Allah terdapat dalam setiap agama di dunia. Ia sebuah kajian berkenaan asal usual agama dan kaitannya antara satu sama lain.

Buku ini juga dikatakan telah berniat untuk menyeleweng fakta sebenar dan kesucian agama Hindu dengan memaparkan fakta yang salah dan tidak pernah dibuktikan.  Kedua-dua buku ini mendapat tentangan yang hebat dari kalangan penganut agama Hindu dan Sikh.

Kredit gambar: @pts

4. Saya Malala: Gadis Yang Memperjuangkan Pendidikan Dan Ditembak Oleh Taliban – Malala Yousefzai & Christina Lamb

Ini kisah apabila Taliban menguasai Lembah Swat yang indah dan kaya dengan tinggalan sejarah Buddha di Pakistan. Tindakan ekstrim Taliban yang mengharamkan pelajar perempuan ke sekolah menyebabkan seorang gadis cilik, Malala Yousafzai enggan berdiam diri , dan berjuang menuntut hak mendapatkan pendidikan. Pada Oktober 2012, tatkala usianya mencecah 15 tahun, nyawa Malala hampir-hampir tergadai. Dia ditembak di kepala semasa perjalanan pulang ke rumah dari sekolah dan harapan untuk hidup tipis.

Namun, penyembuhan Malala yang hebat telah membawa dia dari kawasan terpencil di utara Pakistan ke dewan Bangsa-bangsa Bersatu di New York. Pada usia 16 tahun, dia muncul sebagai lambqng protes keamanan global. Setahun kemudian, dia menjadi penerima Hadiah Nobel Keamanan yang termuda. Buku tulisan Malala bersama Christina Lamb ini dipuji kerana ‘perinciannya yang hebat’ oleh Associated Press, Saya Malala akan membuat pembaca percaya pada kuasa suara seseorang untuk merubah dunia.

Kredit gambar: @hamizah.ishak

5. Trilogi Hitler (3-in-1)  – Al Ghazali

 

Trilogi ini mempunyai 3 buku yang menceritakan kisah Hitler sejak dia lahir sehinggalah dia menubuhkan Nazi. Hitler yang lahir daripada rahim seorang ibu yang muda, tetapi ayahnya pula sudah hampir pencen. Ibunya adalah isteri ketiga, dan dia mempunyai adik-beradik berlainan ibu. Namun, tetap zaman kanak-kanak adalah zaman yang membahagiakan Hitler.

Dari kisah zaman kanak kanak, menubuhkan Nazi, zaman kebangkitan dan kejatuhan. Jika anda mahu tahu bagaimana penjenayah perang dunia ini di bentuk, di didik, apa yang memotivasikan Hitler, apa kekuatan karakter Hitler hingga dapat menjadikan sesuatu yang ‘impossible’ kepada kenyataan trilogi ini dapat berikan kisah lengkap hidup seorang yang bersama Adolf Hitler.

Meskipun pernah menongkat langit, pada akhirnya Hitler dan Third Reich hancur di Berlin.

6. Bercakap Dengan Jun – Hasrul Rizwan

Ini kisah cinta yang bakal menggoncang hati anda. Kisah penyeluk saku di jalan dan gelandangan di Kuala Lumpur, yang dihimpit miskin bandar.

Pernah kah anda terfikir bagaimana cerita hidup sehari hari seorang gelandangan Kuala Lumpur? Mereka juga ada kisah susah, kisah pengorbanan, kisah cinta, persahabatan.

Penulis bijak menyampaikan cerita, dan usaha yang amat baik dalam meneroka jenis cinta antara seorang lelaki dan perempuan bernama ayah dan anak. Kisah Bercakap Dengan Jun, sebagaimana reviu yang tiggi diberikan oleh pembaca di Goodreads; mendapat tempat istimewa dalam hati dan memang menggamit kenangan kita bersama ayah tersayang, seperti juga buku-buku yang tersenarai di sini. Pengakhiran yang tak dapat di duga, yang pasti, anda perlu sediakan tisu ketika membaca!

7. Kisah 25 Filsuf Barat – Mat Luthfi

 

Matluthfi datang lagi buku ketiga, kali ini berkenaan tajuk yang jarang diteroka penulis muda, iaitu berkenan falsagah dan figur-figurnya. Tajuk bukunya kali ini agak berat dan sangat menyimpang dari buku pertama dan kedua beliau iaitu Catatan Matluthfi dan Momen2 Matluthfi yang diterbitkan oleh Puteh Press.

Kali ini, Kisah 25 Filsuf Barat, sangat bagus bagi mereka yang mahu berjinak-jinak dengan falsafah. Kisah, definisi falsafah yang besar dan berat telah dipermudahkan melalui penyampaian Matluthfi yang lebih santai dan mudah difahami.

Kredit gambar: @pts

8. Tafsir Al Azhar Juzuk 30 – Hamka

Tafsir Al Azhar Juz 30. Mudah bahasa nya untuk difahami. Tak cukup hanya membaca terjemahan nya, kenali #alquran dengan lebih mendalam dengan membaca tafsirnya.

Juzuk 30 yang kerap dilazimi pelbagai lapisan umur, terutamanya dalam sesebuah keluarga. Tafsirannya begitu sesuai untuk dikongsikan bersama ahli keluarga, seperti di baca selepas solat maghrib/isyak bersama.

Kredit gambar: @pts

9. Who Moved My Cheese Edisi BM – Dr Spencer Johnson

Perubahan tidak dapat ditahan. Apabila tidak berubah, kita menjadi mangsa. Apabila kita pilih untuk berubah, kita menjadi berkuasa. Kita mempunyai kuasa untuk menentukan matlamat hidup dan mencapai impian kita. Bukan semua perubahan adalah bagus.

Who Moved My Cheese? adalah kisah parable tentang misteri kehilangan keju dalam dunia tikus. Keju adalah metafora bagi semua perkara yang kita mahu dalam hidup, sama ada harta, cinta, kebahagiaan, atau ketenangan.

Tikus dalam kisah ini pula adalah simbolik kepada manusia yang sentiasa diuji dengan kehilangan harta, kehilangan kuasa, dan kehilangan orang yang tersayang. Apabila berlakunya perubahan dan kita hilang perkara yang kita sayang, adakah cukup sekadar kita meratap-ratap dan merenung langit sambil mengharapkan bulan jatuh ke riba?

Mulakan perubahan ke arah yang lebih pada hari ini juga. Ceritanya mudah difahami, namun impaknya sangat berkuasa. Berubahlah sebelum terlambat dan jangan terperangkap dalam zon selesa, kerana terlalu selesa boleh membawa binasa.

Kredit gambar: @yunimy

10. Merantau Ke Deli – Hamka

Untuk novel ini, Hamka memilih untuk bercerita tentang cinta lelaki yang merantau, dan setianya seorang perempuan yang tidak dipandang darjat keturunannya. Selain dari sarat dengan kritis sosial masyarakat setempat, apa yang menarik ialah Hamka menyentuh kisah perkahwinan & poligami yang diolah dengan menceritakan perasaan isteri pertama, bukan semata mata hukum hakam kebiasaan yang menjadi hujah kaum lelaki dan agamawan.

Kisah ini juga menceritakan semangat luar biasa wanita yang diceraikan, membina hidup baru hingga berjaya. Saya baca ia sebagai mesej Hamka utk ‘empower’ wanita.  Hebat sekali, ulama tafsir yang berbakat dalam dunia sastera ini memilih membawa wajah ‘manusawi’ dan kebaikan universal (fitrah) dalam perkahwinan dan amalan beragama.

Jarang sekali karya Hamka tidak membuat kita termenung berfikir malahan menangis. Baca di sini untuk mengetahui mengapa kita mudah sekali terkesan dengan ceritera yang ditulis Hamka

11. Erdogan Bukan Pejuang Islam? – Ahmad Azam, Najmuddin & M Suhail

Buku ini membahaskan secara tuntas tentang politik Turki dan menjawab persoalan siapa sebenarnya Gulan dan apa yang Erdogan mahukan.

Selepas kejadian cubaan rampasan kuasa dari Kerajaan Turki pada 15 Julai lalu, Turki sekali lagi menjadi perhatian dunia, tetapi ia bukan lagi dalam perhatian Islam lawan Barat. Tetapi telah beralih kepada perhatian Islam lawan Islam apabila Erdogan menuduh Fethullah Gulen adalah dalang cubaan rampasan kuasa tersebut. Gerakan Gulen (atau Gerakan Hizmet) telah diisytiharkan sebagai FETO oleh kerajaan Turki, iaitu Fethullah Gulen Terrorist Organization

Pasca rampasan kuasa Erdogan telah ‘membersihkan’ seramai mungkin pengikut Gulan iaitu seramai 400 orang ditahan atas dakwaan darurat, 40,000 orang awam ditahan, 80,000 diberhentikan kerja, 3,000 peguam dan pendakwa raya ditangkap, 2,000 lebih ahli akademik, dan 20,00 guru ditahan.

Lakukan pertimbangan anda hanya selepas membaca buku yang sarat fakta dan analisa ini. Bacaan yang menyegarkan.

12. Rich Dad Poor Dad (Edisi BM) – Robert Kiyosaki

Buku tulisan Robert Kiyosaki ini bakal mengubah mindset & tindakan anda dari menabung secara pasif kepada membina harta secara aktif.

Nota nota yang mudah dibaca berkenaan pendidikan kewangan, pengurusan hutang dan mengembangkan harta juga adalah konten penting dalam mana mana buku beliau.

Seandainya setiap agama mempunyai kitab suci yang tersendiri, maka tidak keterlaluan jika dikatakan, buku Rich Dad Poor Dad adalah kitab utama bagi mazhab kekayaan dalam dunia moden sekarang.

Tanyalah kepada para jutawan di seluruh dunia, lebih separuh daripada mereka pasti memberitahu yang mereka pernah membaca buku ini. Inilah buku kewangan dan motivasi kekayaan yang terulung serta bestseller sepanjang zaman.

Matlamat buku ini sangat jelas, untuk membantu kita mencapai kebebasan kewangan dan kepuasan bekerja. Robert mendedahkan betapa ramainya manusia yang terperangkap dalam kitaran sia-sia Rat Race. Anda mungkin terperangkap sama. Bangun pagi, balik petang, dapat gaji, bayar hutang.

Bebaskan diri anda, dapatkan buku ini dan keluarlah daripada kitaran sia-sia sebagai jutawan yang merdeka daripada masalah kewangan.

Tulisan Robert Kiyosaki yang telah banyak mengubah mindset dan hidup pelbagai lapisan umur – pelajar, eksekutif korporat, usahawan mahupun pelabur.

Tanyalah mana-mana pelabur yang telah Berjaya sekarang, pasti mereka pernah membaca salah satu tajuk dari siri buku Robert Kiyosaki, terutamanya buku klasik “Rich Dad Poor Dad” ini. Buku ini termasuk dalam senarai rekomendasi untuk golongan graduan (di sini) dan eksekutif korporat (di sini).

Kredit gambar: www.ecomparemo.com

13. Mat Jenin Sebenarnya Hero – Saiful Nang

Buku ke 2 Saiful Nang terus mengajak kita berfikir definisi hero/wira yang sebenar. Padat dengan kisah inspirasi dari pengalaman hidup beliau sendiri, buku ini membantu pembaca yang mahu memotivasikan diri untuk terus berjaya.

Saiful Nang menulis, orang yang berimaginasi seperti Mat Jeninlah yang membangunkan negara dan bangsa. Namun, dinyatakan juga apakah silap dan kesalahan Mat Jenin yang menyebabkan dia gagal di tengah jalan.

Motivasi apa kah lagi yang terbaik kalau bukan kisah benar dari orang yang telah terbukti berjaya?

Kredit gambar: @pts

14. Dalam Bilik Darjah – Sofuan Saadon

Memoir seorang cikgu yang mengajar di Sarawak. Kalau baca buku ini dan anda langsung tak tersenyum atau ketawa, mesti ada mana-mana yang tak kena dengan anda.

Buku “Dalam Bilik Darjah” memang menghiburkan dan mengajak kita berfikir tentang masa depan dunia pendidikan, pelajar, sekolah, guru.

Di olah dengan kisah pengalaman seorang guru yang mengajar di sekolah pedalaman, corat-coret kisah dan ragam mendidik anak bangsa ditulis dengan santai dan mudah di ikuti oleh pembaca.

Bukan mudah kerja seorang guru!

Kredit gambar: : @nur_efarizan

15. Dia Bukan Lelaki Biasa – Syarafuddin Sulaiman

Kisah ini akan melibatkan pelbagai orang dalam hidup Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz

Daripada isteri, anak, saudara-mara, kepada orang rapat, anak murid, pegawai kerajaan dan mereka yang jauh, tulisan yang memuatkan antara kisah yang menceritakan bagaimana Tok Guru mempengaruhi hidup mereka. Juga bagaimana kita dapat belajar daripada cara Tok Guru berinteraksi dengan setiap seorang daripada mereka.

Buku ini istimewa bagi yang ingin meneladani usaha dakwah seorang lelaki bernama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang begitu dirindui rakyat Malaysia.

Kredit gambar: sharkhasim.blogspot.my

16. Cinta Yusuf : Cinta Yang Membinasakan – Husam Musa

Buku ini ibarat membedah Surah Yusuf yang bertemakan “cinta” yang menyelubungi hidup Nabi Yusuf, dan telah banyak membawa ujian sengsara buat beliau. Melalui surah ini, Allah mahu mengajarkan bagaimana kita harus menghadapi ujian pelbagai bentuk, sebagaimana di ilhamkan buat Nabi Yusuf.

Menariknya, surah ini diturunkan ketika Nabi Muhammad dalam kesedihan apabila Abu Thalib dan isteri tercinta Khadijah meninggal dunia.

Aktor utama kita perbahasan ini adalah Nabi Yusuf, putera Nabi Ya‘kub, cucu Nabi Ishak, cicit Nabi Agung Nabi Ibrahim. Nabi Yusuf dilahirkan di Palestin, berhampiran Hebron. Beliau dilarikan ke Mesir lebih kurang 1500 kilometer dari kampung halamannya dan dibesarkan oleh al Aziz (His Excellency), seorang menteri kerajaan Hyksos di Mesir yang berpusat di Bandaraya Memphis.

Ilmu mengurus emosi, melawan nafsu & pengaruh jahat, keibubapaan, psikologi anak-anak, penyiasatan jenayah, pembuktian tuduhan, memilih pemimpin, pentadbiran negara, pengurusan kewangan dan strategi keselamatan adalah antara ibrah yang boleh dikutip dari Surah Yusuf.

Tulisan Dato Husam Musa terbitan ILHAM Books ini benar-benar mengujakan!

 

warungbooku